Jonathan Wong Guanjie sasar naik podium di Olimpik Paris nanti

47

Atlet menembak negara, Jonathan Wong Guanjie meletak sasaran mahu naik podium pada temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris nanti.

“Secara peribadi saya meletakkan sasaran untuk naik podium kerana ini adalah Olimpik kedua saya sekaligus sasaran saya untuk cuba dapatkan skor tertinggi yang boleh melayakkan diri ke final sebelum buat percaturan.

Oleh itu, apa yang penting ketika ini adalah untuk saya layak ke final terlebih dahulu dan untuk berbuat demikian, saya kini sedang mengenal pasti kelemahan dan cuba memperbaikinya,”

katanya.

Jonathan juga merupakan salah seorang atlet negara yang berjaya layak ke Olimpik tetapi tidak berada dalam program Road To Gold (RTG).


Beliau bagaimanapun berkata tiada masalah sekiranya dirinya berada dalam RTG atau tidak kerana baginya ia tidak memainkan peranan penting.

“Bagi saya sebenarnya bukan nak cerita RTG membantu atau tidak tapi saya lebih fokus kepada tugas saya iaitu buat yang terbaik untuk ke Olimpik.

Samada RTG atau tidak, bagi saya perjalanan akan sama, jadi ia tidak akan memberi perbezaan kepada saya.”

Jonathan memberitahu beliau baru sahaja pulang dari kem latihan di Denmark yang disifatkan sebagai persiapan yang cukup baik untuk peringkat awal ini.

Beliau pada masa sama turut berkata akan menyertai beberapa kejohanan tidak lama lagi untuk melihat kelebihan dan kekurangan yang boleh diperbaiki.

Dalam pada itu, beliau mengakui tidak dapat mengelak dari tekanan tetapi beliau tidak terlalu memikirkan perkara itu.

“Tekanan akan sentiasa ada tapi saya tidak terlalu memikirkan mengenai perkara itu kerana saya dapat kawal jangkaan lebih baik kerana ini adalah temasya kedua saya. Tambahan pula saya ada pasukan yang bekerja dengan saya, jadi mereka sudah kenal pasti beberapa perkara untuk tingkatkan prestasi saya.

Jadi saya yakin Olimpik kali ini akan menjadi lebih baik dari sebelum ini kerana persiapan lebih baik.”

Sementara itu, Jonathan juga menjelaskan bahawa kedudukan ranking tidak membawa sebarang kelebihan, sebaliknya apa yang penting adalah untuk cuba mendapatkan skor tertinggi yang mungkin.