Ng Tze Yong masih mempunyai peluang untuk ke Olimpik 2028 – Norza Zakaria

47

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria memberitahu bahawa keutamaan mereka kini adalah bagi menjaga kesihatan pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong selepas menjalani pembedahan ekoran kecederaan belakang baru-baru ini.

Menurut Norza, mereka perlu bersikap realistik dengan peluang Tze Yong untuk ke Sukan Olimpik 2024 di Paris kerana pemain itu masih muda dan masih berpeluang untuk ke temasya itu di Los Angeles pada 2028.


“Pertama sekali seperti yang saya pernah cakap sebelum ini, kesihatan beliau sangat penting buat kami kerana kita tidak mahu buat perkara-perkara yang mungkin menyusahkan diri beliau dan beri kesakitan lebih padanya yang mana ia akhirnya kariernya akan terjejas.

Beliau masih muda dan masih ada masa untuk ke Olimpik seterusnya. Buat masa ini keadaan agak kritikal, jadi kita perlu bersikap realistik dalam kelayakan beliau,”

katanya.

Norza pada masa sama turut berterima kasih kepada pihak Institut Sukan Negara (ISN) yang membantu dalam pembedahan pemain itu dan fokus mereka kini adalah untuk jalani proses pemulihan.

“Beliau akan mula proses pemulihan secepat yang mungkin dan kita berharap beliau akan segera sembuh.”

Tambahnya lagi, pihaknya juga memberi tempoh sebulan kepada Tze Yong untuk melihat perkembangan pemain itu samada beliau boleh menyertai sebarang kejohanan dalam masa terdekat ini.

Terdahulu pemain itu mengalami kecederaan ketika Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2024 tempoh hari.

Susulan kecederaan itu, pemain berusia 24 tahun itu bakal terlepas kejohanan Terbuka Perancis bermula 5 hingga 10 Mac dan Seluruh England bermula 12 hingga 17 Mac.