Declan Lambert teruja mahu cipta kejayaan bersama KL City FC

733

Pasukan KL City FC bakal menandatangani pemain dari FC Den Bosch tidak lama lagi, Declan Lambert yang merupakan pemain kacukan Malaysia-Australia bagi memperkuatkan pasukan itu musim ini.

Declan merupakan kembar kepada Ryan Lambert yang merupakan pemain tengah KL ketika pasukan itu berjaya mencipta sejarah rangkul trofi Piala Malaysia musim lalu selepas menumpaskan juara lapan kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).


“Beberapa sebab mengapa saya mahu bermain dengan KL adalah salah satunya kerana kembar saya turut bermain di sini. Banyak yang Ryan ceritakan kepada saya mengenai pasukan KL yang membuatkan saya teruja untuk bermain di sini.

Selain dari kejayaan pasukan KL di Piala Malaysia, antara faktor lain yang membuatkan saya mahu ke sini adalah sebab jurulatih Bojan Hodak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Posisi utama Declan adalah pertahanan kanan, namun beliau mampu beraksi di semua posisi di bahagian pertahanan.

Pemain berusia 23 tahun ini perlu bersaing dengan Kamal Azizi yang merupakan pertahanan pilihan Bojan sepanjang musim lalu.

Dalam pada itu, Declan turut mengakui sedikit bergelut untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di Malaysia yang panas.

“Saya pada mulanya rasa mampu menyesuaikan diri dalam tempoh seminggu ke dua minggu, namun selepas turun berlatih nampaknya saya perlukan lebih masa lagi untuk sesuaikan diri dengan cuaca di sini.

Jika sebelum ini saya memakai beberapa helai lapisan ketika bermain di Den Bosch kerana suhu yang sangat sejuk, tetapi di sini saya pakai selapis sahaja kerana terlalu panas.”

Declan bagaimanapun tidak mahu jadikan cuaca sebagai alasan, sebaliknya akan cuba menyesuaikan diri secepat mungkin supaya dapat tunjukkan perestasi terbaik sepanjang latihan sebelum saingan liga bermula.

Sementara itu, selain mahu bantu KL untuk terus cipta kejayaan terutamanya selepas pasukan itu bakal beraksi di saingan Piala AFC musim ini, Declan juga berharap persembahannya dalam menarik perhatian ketua jurulatih skuad kebangsaan Harimau Malaya.

“Jika saya dipanggil untuk sarung jersi kebangsaan sudah pasti saya tidak akan menolak dan bersedia untuk berikan persembahan terbaik.”