Kita patut berikan sokongan kepada FAM – Razman Roslan

24

Bekas pemain bola sepak, Razman Roslan memberitahu bahawa semua pihak perlu terus beri sokongan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana mereka telah menjadi nadi utama dalam kejayaan pasukan kebangsaan senior dan B-23 layak ke Piala Asia 2023 dan Piala Asia B-23 2024 secara merit.

Tidak dapat dinafikan penampilan kedua-dua skuad negara di pentas Asia itu gagal mendapat keputusan yang baik berikutan tersingkir awal, namun beliau percaya Malaysia mampu layak lagi secara merit untuk edisi akan datang.


“Pendapat saya, kita serba tak menjadi di sana (Piala Asia), kita kena belajar dari kesilapan sebab kita dah layak secara merit di peringkat akhir tapi kita tak berjaya sama juga dengan skuad senior.

Saya rasa ini adalah permulaan, akan datang kita boleh pergi lebih jauh dan layak lagi secara merit dan kita, jadi kita kena belajar dari apa yang kita lalui.

FAM akan melakukan ‘post mortem’ untuk berbincang mengenai perkara ini kerana mereka lebih bijak dan mengetahui tapi sekali lagi saya katakan kita perlu beri sokongan kepada FAM sebab sebelum kita layak kita mintak layak secara merit dan akhirnya kita berjaya tapi mungkin bila sampai sana lain jadinya,”

katanya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai kejayaan skuad B-23 negara jiran Indonesia yang telah mencipta kejutan apabila berjaya mara sehingga ke separuh akhir Piala Asia B-23 2024 yang berlangsung di Doha, Qatar.

Tambahnya lagi, kejayaan yang dikecapi mereka adalah kerana ramai pemain senior mereka turut bermain untuk skuad B-23 yang mana berbeza dengan Malaysia.

“Saya rasa mungkin ramai pemain senior dia berada dalam skuad B-23 dan itu mungkin lebih mudah untuk ketua jurulatih Shin Tae-yong.

Macam kita, kita tak ada jadi agak sukar untuk ketua jurulatih Kim Pan-gon nak menilai pemain senior, lepas itu nak tengok Piala MFL yang rata-rata pemain B-23 bermain di situ, jadi itu mungkin satu tugas yang sukar.

Tapi itulah saya cakapkan, mungkin di Indonesia lain mereka ada ramai pemain senior yang boleh beraksi dalam skuad B-23.”

Terdahulu, skuad Harimau Malaya yang beraksi di Piala Asia 2023 gagal untuk melepasi peringkat kumpulan tetapi mereka menutup kempen dengan cemerlang apabila berjaya mengikat pasukan gergasi dunia Korea Selatan 3-3.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi skuad adik apabila mereka tewas dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan.