Ong Kim Swee akan perbaiki kelemahan pasukan sebelum aksi pertama Liga Super

61

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee (OKS) memberitahu menerusi perlawanan persahabatan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) beliau mengakui terdapat beberapa kelemahan pasukan yang perlu diperbaiki sebelum aksi pertama Liga Super bermula nanti.

“Banyak perlawanan yang tidak mempunyai kombinasi yang baik tetapi inilah tujuan kita untuk mengadakan perlawanan jemputan untuk kita mengenal pasti.

Jika kita tidak mempunyai perlawanan persahabatan kita tentu tidak akan dapat tahu tentang kelemahan kita.

Jadi saya berharap kita dapat melakukan yang lebih baik daripada apa yang kita tunjukkan dalam aksi di Piala SMJ,”

katanya.

Pada perlawanan akhir Piala SMJ yang berlangsung di Stadium Likas menentang KL City FC, Sabah berjaya menang 1-0 untuk menjulang trofi itu.


Dalam pada itu, beliau turut memberitahu masih belum mempunyai bayangan mengenai kesebelasan utama untuk aksi pertama menentang Penang FC pada 12 Mei ini lagi kerana beliau perlu melihat terlebih dahulu kecederaan pemain dan tahap kecergasan mereka.

OKS pada masa sama juga berkata masih terlalu awal untuk beliau membuat percaturan taktikal untuk perlawanan pertama nanti.

“Masih terlalu awal untuk saya tentukan, kita harus tahu ini perlawanan pertama jadi kita tak tahu latar belakang tentang pasukan Penang, jadi kita harus menilai daripada beberapa sudut terlebih dahulu.”

Sementara itu, ditanya mengenai sasaran skuad The Rhinos pada musim ini, OKS menegaskan bahawa beliau tidak meletakkan sasaran untuk berada di kelompok tiga teratas lagi buat masa ini.

“Saya tak fikirkan untuk kita untuk mengekalkan kelompok tiga teratas, kita perlu mengharungi satu perlawanan ke satu perlawanan dan selepas pertengahan musim kita harus tahu dengan kedudukan kita di mana kita boleh berakhir selepas bermain dengan semua pasukan.”