Steffi Sidhu akui bola sepak wanita semakin meningkat dengan kehadiran ramai pemain berkualiti

38

Pemain kebangsaan Malayan Tigress, Steffi Sidhu gembira dengan perkembangan bola sepak wanita di negara ketika ini yang mana ia semakin meningkat dengan kehadiran ramai pemain-pemain berkualiti.

“Bagi saya setiap tahun semua meningkat kerana kita sebenarnya mempunyai ramai pemain bagus di luar sana dan saya rasa kita dapat lihat ia semakin berkembang dan saya berharap ia akan terus berkembang dari masa ke masa.

Liga FAS adalah permulaan yang bagi daripada Selangor FC yang mana mereka anjurkan kejohanan pertama untuk bola sepak wanita, selepas ini kita ada Liga Wanita Nasional (LWN) dan pada hujung tahun ini saya ada dengar akan ada kejohanan jemputan antarabangsa,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Steffi berkata demikian selepas tamat aksi suku akhir Piala FA FAS Women Super League menentang Selangor yang menyaksikan pasukannya MBSJ FC berjaya mara ke separuh akhir selepas menang 2-1.


Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perlawanan itu, Steffi yang juga merupakan kapten pasukan berkata bekerja lebih keras di atas padang menjadi faktor utama kejayaan pasukannya.

“Kedua-dua pasukan sangat seimbang di mana pasukan Selangor juga mempunyai skuad yang cukup bagus dan pasukan saya juga.

Perlawanan tadi adalah perlawanan mentaliti dan siapa yang bekerja keras dia akan menang jadi saya rasa pasukan MBSJ bekerja lebih keras sedikit membuatkan kami memperoleh kemenangan. Saya bangga dengan rakan sepasukan saya kerana setiap pemain memberikan aksi terbaik.”

Sementara itu, beliau yang merupakan ikon bola sepak wanita negara mendesak agar keganasan bola sepak dapat dihentikan segera kerana berkata mereka hanya mahu bermain bola sepak sahaja.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai insiden yang berlaku kepada pemain kebangsaan Harimau Malaya, Faisal Halim yang menjadi mangsa disimbah acid baru-baru ini.

“Saya harap sangat ia tidak akan terjadi kepada mana-mana pasukan bola sepak wanita dan pemain kerana kami di sini hanya kerana mahu main bola sepak kerana bola sepak untuk semua jadi saya harap kita dapat hentikan kebencian ini.

Bagi saya bola sepak ini menyatupadukan semua dan kita perlu positif kerana bagi saya keganasan dalam bola sepak adalah satu perkara yang kurang manis.”