Futsal Malaysia perlukan sedikit masa lagi untuk jadi lebih baik – Chema Jimenez

18

Ketua jurulatih pasukan futsal Black Steel FC dari Indonesia, Chema Jimenez menyuarakan keyakinan beliau yang futsal di Malaysia akan menjadi lebih baik tidak lama lagi.

Menurut Jimenez, Malaysia mempunyai saingan Malaysian Premier Futsal League (MPFL) yang bagus.


“Malaysia mempunyai liga yang bagus. Saya tahu Malaysia mampu menjadi lebih baik, cuma perlukan masa dan pemain muda kerana pemain muda adalah masa depan dengan pengalaman yang mereka ada ia bagus untuk futsal negara dan dengan kehadiran pemain Brazil di sini ia akan membantu menaikkan kualiti liga,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam aksi persahabatan antarabangsa, Jimenez berjaya membawa Black Steel menang 3-1 ke atas Selangor FC.

“Ia perlawanan yang sukar buat kami dalam aksi pra musim ini yang mana ia bagus untuk kami. Pemain saya sangat keletihan kerana cuaca panas di sini selain bermain di gelanggang yang berbeza tapi saya gembira dengan kemenangan 3-1 di sini.”

Dalam pada itu, beliau turut berkata pasukannya kini dalam persiapan terakhir sebelum sepak mula Liga Futsal Profesional Indonesia kira-kira dua minggu lagi.

Tambahnya lagi, perlawanan persahabatan ini dapat memberinya input mengenai kelemahan pasukannya supaya dapat diperbaiki sebelum saingan liga bermula.

“Pada 25 Mei ini kami akan menentang BTS yang merupakan perlawanan cukup penting bagi kami kerana pasukan lawan merupakan musuh tradisi kami tapi saya yakin dengan kemampuan pemain-pemain saya dan saya yakin kita boleh menang.”