Apa akan jadi pada Sarawak United FC selepas E. Elavarasan kini dilantik penolong jurulatih Kim Pan-gon?

6,773

Setelah sekian lama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya mengumumkan ketua jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan sebagai penolong jurulatih tempatan kepada ketua jurulatih baru Kim Pan-gon.

Pengumuman terbaru ini akhirnya melegakan peminat Harimau Malaya, tetapi disebalik itu peminat Sarawak pula kini berduka apabila pasukan kesayangan mereka kehilangan ketua jurulatih.


Lebih membimbangkan apabila saingan Liga Super bakal membuka tirai pada minggu hadapan dan mereka akan menentang gergasi utara Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Ketiadaan Elavarasan akan menyaksikan penolong ketua jurulatih Mohamad Safri Amit akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih buat sementara waktu sebelum mereka mencari ketua jurulatih yang baru.

Dalam pada itu bercerita lanjut mengenai Elavarasan, jurulatih berusia 57 ini mempunyai latar belakang dalam dunia kejurulatihan yang cukup berpengalaman termasuk kejayaan terbaru iaitu membawa Sarawak naik semula ke Liga Super pada musim ini.

Sumber foto: Sarawak United FC Facebook

Beliau memulakan kerjaya sebagai ketua jurulatih Public Bank FC dan tidak menunggu lama untuk meraih kejayaan sulung beliau apabila menang Liga FAM, bersaing di Liga Perdana dan kemudian naik ke Liga Super.

Walaupun baru naik ke Liga Super, Elavarasan telah berjaya memberi saingan yang cukup sengit sehingga mereka berjaya menjadi naib juara liga pada tahun 2004.

Sentuhan magis Elavarasan diteruskan pula apabila beliau berhijrah ke Melaka pada musim 2005 dan tidak menunggu lama apabila beliau berjaya membawa pasukan itu naik ke Liga Super pada musim 2006.

Terkenal sebagai ‘pakar’ dalam membawa pasukan tidak konsisten dalam tempoh yang singkat, beliau terus mempamerkan kehebatannya apabila mengendali Felda United pada tahun 2010 dan hanya semusim sahaja masa yang diambil untuk membawa The Fighters ke Liga Super.

Selain berjaya membawa Felda naik ke Liga Super, beliau untuk memimpin kelab itu suku akhir Piala Malaysia 2012.

Pada tahun 2015 beliau menyertai PKNS FC pula dan sama seperti pasukan lain, beliau tidak menunggu lama untuk mencipta kejayaan apabila berjaya membawa PKNS ke perlawanan akhir Piala FA 2016 yang mana mereka tumpas 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim.

Sumber foto: Sarawak United FC Facebook

Selepas dipecat dari PKNS, beliau sekali lagi dilantik sebagai ketua jurulatih Melaka untuk menggantikan Eduardo Almeida yang dipecat kerana prestasi buruk. Menandatangani kontrak selama empat bulan, beliau berjaya menyelamatkan Melaka dari tersingkir dari Liga Super.

Khidmat beliau terus ditagih oleh pasukan bermasalah termasuklah PDRM FC pada tahun 2019. Beliau dilantik sebagai ketua jurulatih baru bagi menggantikan Mohd Fauzi Pilus yang hanya berjaya seri satu perlawanan dari tujuh perlawanan.

Elavarasan bukan sahaja menyelamatkan PDRM dari penyingkiran, tetapi berjaya membawa pasukan Sang Saka Biru berada di kedudukan keempat Liga Perdana.

Dengan trek rekod yang cukup cemerlang dalam mengendalikan pasukan tidak konsisten dan bermasalah, tidak dapat dinafikan lagi beliau adalah pilihan paling tepat untuk membantu Kim Pan-gon.

Mampukah beliau membantu ketua jurulatih menyelamatkan skuad negara? Sama-sama kita tunggu.