Peminat teruja menanti pelancaran jersi pasukan Liga Super tapi …..

12,270

Saingan Liga Super bakal membuka tirai kurang seminggu lagi iaitu pada 4 Mac 2022 dan peminat-peminat semakin teruja menanti pelancaran jersi pasukan kesayangan mereka.

Tidak dapat dinafikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelancaran jersi menjadi satu ‘acara’ yang paling ditunggu-tunggu kerana mentaliti peminat bola sepak tempatan kini sudah berubah.


Peminat kini lebih memilih untuk membeli jersi original berbanding sebelum mereka selalu beli jersi tiruan kerana lebih murah.

Strategi untuk menjual jersi original pada harga berpatutan telah membuahkan hasil apabila jersi yang dijual pada hari pelancaran sentiasa akan habis dalam tempoh yang singkat sahaja sehingga mencetuskan kemarahan peminat kerana tidak dapat beli.

Ini satu petanda yang cukup positif kerana ia turut membantu pasukan mereka menjana pendapatan menerusi penjualan jersi.

Ketika ini empat pasukan telah pun melancarkan jersi mereka iaitu Johor Darul Ta’zim, Selangor FC, Sabah FC dan KL City FC.

Beberapa pasukan lain juga dilihat sedang rancak ‘menghangatkan’ lagi suasana dengan memuat naik video teaser  tarikh pelancaran jersi sekaligus mencetuskan keterujaan peminat.

Pada 25 Februari pasukan Sri Pahang FC dan Melaka United FC akan melancarkan jersi mereka; Terengganu FC pula pada 26 Februari; Negeri Sembilan FC pada 27 Februari dan Kedah Darul Aman FC pula pada 28 Februari.

Bagaimanapun peminat pasukan Sarawak United FC, Penang FC dan PJ City FC masih ternanti-nanti perkembangan bilakah tarikh pelancaran jersi pasukan kesayangan mereka.

Melihat pada jersi pra musim yang dipakai Sarawak, mereka masih memakai jersi dari jenama Joma tetapi agak menghairankan apabila masih tiada pelancaran jersi sedangkan Selangor yang turut ditaja oleh jenama sama sudah pun melancarkan jersi mereka baru-baru ini.

Adakah Sarawak akan ditaja oleh jenama lain?

Sementara itu, Penang FC dan PJ City FC juga sehingga kini masih belum ada sebarang perkembangan terbaru mengenai pelancaran jersi mereka.

Kedua-dua pasukan ini bakal menggunakan jersi dari jenama yang sama iaitu Puma.

Terdapat ura-ura yang mengatakan terdapat sedikit isu yang berlaku dan berkemungkinan besar berlaku kelewatan.

Sekiranya khabar angin benar, ia bermaksud kedua-dua pasukan akan bermain menggunakan jersi musim lalu untuk beberapa perlawanan sebelum memakai jersi baru untuk musim ini.

Yang lebih penting lagi, peminat pasti akan kecewa kerana rata-rata peminat sememangnya tidak sabar untuk memakai jersi baru ketika turun ke stadium menyokong pasukan mereka beraksi.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen