Selangor FC sudah berjaya dapat nilai tajaan berjumlah RM6.6 juta

5,996

Hubungan antara sesebuah pasukan bola sepak dengan penaja bagaikan ‘aur dengan tebing’ kerana masing-masing memerlukan antara satu sama lain.

Ini kerana dengan tajaan, ia dapat membantu perbelanjaan sesebuah pasukan bola sepak untuk mengharungi saingan liga, manakala penaja pula akan mendapat iklan pemasaran sekaligus dapat memberi pulangan keuntungan buat penaja.


Tidak dapat dinafikan banyak pasukan di Liga Malaysia bergelut untuk menarik penaja, tambahan pula selepas negara dilanda pandemik COVID-19.

Bagaimanapun Selangor FC boleh dijadikan sebagai contoh oleh pasukan lain kerana pada musim ini mereka sudah pun berjaya mendapat tajaan bernilai RM6.6 juta setakat ini.

Terbaru Selangor dalam satu kenyataan rasmi telah mengumumkan rakan kongsi rasmi terbaru mereka iaitu Cisco Security dengan tajaan berjumlah RM500,000.

Sebelum ini skuad The Red Giants telah pun mendapat tajaan daripada TDC berjumlah RM3.5 juta, Sugarbomb RM1.5 juta, Vizione RM1 juta dan Top Glove RM100,000.

Selain Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) juga antara pasukan yang boleh dijadikan sebagai contoh berikutan mereka juga pada musim ini berjaya menarik banyak penaja.

Memandangkan Liga Malaysia kini sudah mula beralih ke arah penswastaan, rasanya setiap pasukan di Liga Malaysia perlu mula mencari penaja mereka untuk memastikan kelangsungan pasukan sehingga ke hujung musim.

Ia perlu supaya tiada lagi isu tunggakan gaji berlaku di pertengahan atau di penghujung liga yang akan menyebabkan sesebuah pasukan itu berdepan pelbagai masalah termasuk tidak dibenarkan untuk bersaing pada musim seterusnya.

Dalam pada itu, peminat juga kini mula memberi perhatian kepada pasukan-pasukan yang bersaing di Liga M3 yang mana hampir kesemua pasukan ini mempunyai dana mereka sendiri menerusi perniagaan atau penajaan tanpa mengharapkan dana dari kerajaan negeri.

Inisiatif yang dilakukan oleh pasukan di Liga M3 ini telah memberi tamparan hebat buat beberapa pasukan di Liga Perdana dan juga Liga Super sendiri.

Diharap menjelang tahun 2023 ini, setiap pasukan di Liga Malaysia akan seratus peratus swasta tanpa sebarang kaitan dengan agensi berkaitan kerajaan.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen