S. Thibanraj kini semakin pulih dari kecederaan gegaran otak – Penolong jurulatih Ultimate FC

1,621

Penolong jurulatih Ultimate FC, Fairuz Montana memberitahu pemainnya S. Thibanraj kini berada dalam keadaan baik tetapi masih dirawat di Hospital Umum Sarawak.

“Situasi cemas berlaku ketika kami sudah 30 minit berada di udara untuk pulang dari Sarawak yang mana Thibanraj tiba-tiba sesak nafas dan apabila kru penerbangan buat pengumuman minta sesiapa yang berlatar belakangkan medikal, Alhamdulillah ada dua orang doktor.

Apabila mereka memeriksa keadaan pemain saya, denyutan nadinya sudah turun ke 40 dan selepas berjumpa dengan juruterbang mereka buat keputusan untuk berpatah balik ke Kuching,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu ketika pasukan Ultimate FC menentang Sarawak United FC untuk perlawanan pusingan pertama Piala FA, Thibanraj telah mengalami kecederaan di bahagian kepala dan terpaksa diusung keluar.


“Selepas tamat permainan dan ketika di lobi hotel saya ada bertanya samada beliau okay atau tidak, Thibanraj kata okay dan sudah bersedia untuk perlawanan seterusnya.

Beliau seorang fighter kerana perlawanan sebelum ini beliau pernah mengalami kecederaan koyok di bahagian bibir tetapi beliau tetap meneruskan permainan, jadi saya ingat selepas kecederaan itu dia akan okay seperti biasa. Tapi malangnya tidak, dan apabila di hospital doktor memaklumkan bahawa berlaku gegaran otak.”

Susulan itu, doktor mengarahkan pemain itu berada di hospital selama 14 hari sebelum dibenarkan untuk terbang pulang.

Dalam pada itu, Fairuz yang tidak pulang untuk menemani pemainnya berkata Thibanraj kini sudah semakin sihat dan kini menunggu lampu hijau daripada doktor untuk keluar dari hospital.

Pada masa sama Fairuz turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan Sarawak terutamanya Presidennya iaitu Datuk Posa Majais yang banyak membantunya dan Thibanraj.

Fairuz berkata Datuk Posa dengan baik hati telah menampung penginapan mereka di Sarawak dan turut melawat hospital untuk melihat sendiri keadaan pemainnya.

Sementara itu, walaupun tumpas dengan jumlah jaringan besar iaitu 7-0, namun beliau sendiri tidak berasa kecewa langsung dengan persembahan anak buahnya kerana menyedari jurang antara pasukan Liga Super dan Liga M3 sangat besar.

“Sejujurnya saya tak malu langsung kami kalah 7-0 kerana pasukan kami seratus peratus pemain amatur dan bekerja sama seperti pasukan M3 lain. Bagi saya ia satu pengalaman yang bagus untuk kami lagi-lagi kami baru habis buat kemunculan semula selepas dua tahun PKP.”