Khuzaimi Piee bersyukur berpeluang sarung jersi Harimau Malaya selepas 6 tahun

2,715

Pemain pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC), Khuzaimi Piee meluahkan rasa bersyukur apabila mendapat panggilan untuk menyertai kem latihan pusat negara yang bermula sejak semalam (14 Mac).

Khuzaimi dipanggil selepas Rizal Ghazali yang sepatutnya menyertai latihan yang dikendalikan oleh ketua jurulatih baru Malaysia iaitu Kim Pan-gon menolak panggilan kem kebangsaan.


“Alhamdulillah saya bersyukur apabila selepas enam tahun akhirnya saya kembali dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Saya tak jangka pun dipanggil tapi saya anggap ia sebagai satu peluang untuk saya buktikan sesuatu pada pasukan negara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kali terakhir beliau menyarung jersi kebangsaan adalah pada tahun 2016 sebelum beliau mengalami kecederaan telah menyebabkan prestasinya merosot.

Pemain berusia 29 tahun ini mengakui staminanya mungkin tidak sekuat dahulu, tetapi beliau yakin dengan kerjasama rakan sepasukan ia tidak menjejaskan langsung permainannya.

Sementara itu, ditanya samada beliau ada menghubungi Rizal bagi bertanyakan mengapa beliau menolak panggilan, Khuzaimi tidak ada berhubung dengan pemain Sabah FC itu.

“Saya tak boleh nak komen lanjut kerana mungkin Rizal ada masalah peribadi atau dengan keluarga, jadi saya rasa kita tak boleh nak buat spekulasi mengenai sebab Rizal tolak panggilan kem negara.”

Skuad negara akan menjalani latihan selama lapan hari sebelum terbang ke Singapura pada 22 Mac.

Malaysia akan menentang Filipina pada 23 Mac, Singapura pada 26 Mac dan akan terakhir akan menentang Albirex Niigata FC Singapore pada 28 Mac.