Daripada bergerak solo, ada baik jika Zii Jia sertai Axelsen dan Antonsen di Dubai
Seperti yang semua sedia maklum, pemain perseorangan No. 2 Dunia, Lee Zii Jia baru-baru ini telah mengambil keputusan untuk berpisah dengan jurulatihnya, Indra Wijaya secara mengejut.
Lebih mengejutkan, beliau ketika ini memegang pendirian untuk kekal bergerak secara profesional tanpa bimbingan daripada mana-mana jurulatih.
Beliau juga melihat perkara ini sebagai peluang untuknya meraih pengalaman baru dalam memperbaiki prestasinya yang merudum sejak kebelakangan ini.
Walaubagaimanapun, keputusan ini mendapat reaksi daripada pelbagai pihak termasuk legenda-legenda badminton negara seperti Rashid Sidek dan Ong Ewe Hock yang menasihati pemain tersebut untuk mendapatkan khidmat seorang jurulatih bagi membimbing beliau.
Daripada kekal begini tanpa sebarang arah tuju, ada baiknya untuk beliau membuat keputusan bagi menyertai kem latihan pemain No. 1 Dunia, Viktor Axelsen di Dubai.
Axelsen sudah sekian lama menjalani latihan di Kompleks Sukan Nad Al Sheba bersama barisan kejurulatihannya.
Beliau juga telah menjemput beberapa pemain ternama dunia seperti bekas juara dunia, Loh Kean Yew dari Singapura serta perseorangan India, Lakshya Sen.
Malah, seorang lagi pemain profesional negara, Cheam June Wei juga pernah bertandang ke kem latihan tersebut pada Februari yang lalu.
Terbaru, perseorangan lelaki kedua Denmark, Anders Antonsen juga telah membuat keputusan untuk meninggalkan kem latihan Persatuan Badminton Denmark di Copenhagen bagi membina sebuah pusat latihan di Dubai sama seperti yang dilakukan oleh rakan senegaranya, Axelsen.
Antonsen tidak akan bergabung dengan Axelsen namun tidak menolak akan mengadakan sesi pemanas badan bersama pemain tersebut pada bila-bila masa.
Pemain No. 8 Dunia tersebut telah mengumumkan perkara ini menerusi video yang dipapar dalam saluran YouTube miliknya.
Beliau akan turut membawa pasukannya sendiri yang terdiri daripada beberapa orang pakar dalam elemen seperti fisiologi, nutrisi serta jurulatih ke Dubai.
Mungkin Zii Jia boleh mempertimbangkan keputusan menyertai latihan bersama salah seorang daripada pemain ini yang semestinya memerlukan rakan ‘sparring’ berkualiti.
Kedua-dua pemain berasal dari Denmark ini memiliki mutu permainan serta pengawalan gelanggang yang sangat baik dan menakjubkan terutama sekali Axelsen yang ternyata mendominasi acara perseorangan lelaki dunia ketika ini.
Ini boleh membantu pemain berusia 24 tahun tersebut untuk memperbaiki corak permainannya tatkala beliau perlu bersiap sedia untuk menghadapi saingan yang lebih mencabar pada tahun hadapan.
Namun, isu utama yang boleh menjadi penghalang adalah soal perbelanjaan yang agak besar untuk beliau pergi dan menetap di sana buat sementara waktu bersama pasukan pengurusannya.
Cabaran terbesar buat Zii Jia adalah untuk memastikan beliau beraksi dengan baik bagi mengumpul mata secukupnya dalam usaha melayakkan diri buat kali kedua ke temasya sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik yang bakal diadakan di Paris pada tahun 2024.
Peminat juga ingin melihat pemain kesayangan tersebut dapat kembali mendominasi kejohanan-kejohanan besar sebagaimana yang pernah dilakukan sewaktu merangkul kejuaraan Terbuka All England pada tahun 2021.
Harapnya Zii Jia dapat mengambil pertimbangan sewajarnya sebelum melakukan sebarang keputusan berkenaan masa depannya.
Besar harapan yang diletakkan oleh peminat untuk kembali melihat wira mereka berjaya menakluki podium utama semula!