LigaKita bakal jadi hub data analisis lengkap setiap pemain di Liga Malaysia

118

Bagi peminat bola sepak terutamanya sudah pasti ramai yang tahu atau turut bermain fantasy football Liga Perdana Inggeris kan? Jika ya jawapan anda, sudah pasti anda juga tahu mengenai kewujudan aplikasi LigaKita.

LigaKita diwujudkan adalah bagi memeriahkan lagi Liga Malaysia terutamanya saingan Liga Super yang mana konsep yang diguna pakai hampir sama dengan luar negara.


Tetapi untuk LigaKita ini, ia bukan sekadar untuk peminat bermain sebagai pengurus sebuah kelab bola sepak semata-mata, tetapi juga dapat mengetahui butiran prestasi.

“Aplikasi LigaKita ini adalah kombinasi data dan keseronokan yang mana setiap pemain akan bertindak sebagai pengurus pasukan bola sepak yang mana mereka perlu menggunakan pengetahuan yang mereka ada mengenai pemain bagi membentuk sebuah pasukan yang kuat.

Selepas ini kami juga akan memperkenalkan section yang mana mereka boleh melanggan dengan caj yuran yang sedikit di mana mereka yang mempunyai akses ini akan mendapat kelebihan insight pemain-pemain.

Kami akan bekerjasama dengan syarikat yang mengumpul data setiap pemain dan mereka yang melanggan akan mendapat butiran analisis lengkap mengenai prestasi seseorang pemain sekaligus memberi mereka kelebihan daripada pemain yang tidak melanggan,”

kata Ketua Pembangunan LigaKita iaitu Haiqal Fallah kepada Harimau Malaya.

Menurut Haiqal, aplikasi ini bukan sahaja membolehkan pemain LigaKita sahaja yang akan dapat manfaat ini, sebaliknya langganan ini juga boleh dijadikan sebagai hub data analisis kepada kelab-kelab bola sepak di Malaysia juga.

Tambahnya lagi, data analisis yang dikumpul ini bukanlah sekadar data seperti ‘mata kasar’ atau dari luaran sahaja, tetapi analisis lengkap seperti berapa minit permainan, berapa jauh pemain berlari sepanjang perlawanan, jumlah hantaran dan banyak lagi.

Dengan adanya data analisis lengkap ini, ia bukan sahaja dapat memudahkan sesebuah kelab untuk mencari pemain yang berkualiti tetapi juga dapat mengelak mereka dari ditipu oleh ejen bola sepak.

Selain Liga Super, LigaKita juga menjalin kerjasama dengan Kedah Darul Aman FC dan Selangor FC bagi mewujudkan fantasy football untuk saingan Liga K-League dan juga Selangor Champions League.

Malah susulan sambutan memberangsangkan FAS Women’s Super League musim lalu, LigaKita juga bakal melancarkan fantasy football untuk saingan liga bola sepak wanita juga.

Sementara itu, Haiqal berkata pihaknya turut mempunyai banyak perancangan untuk menaikkan taraf aplikasi LigaKita yang mana antara perancangan mereka adalah untuk menjadikan aplikasi itu sebagai salah satu medium media sosial.

“Ya kami sememangnya mempunyai beberapa perancangan untuk mengembangkan lagi fungsi aplikasi ini yang mana ia bukan sahaja boleh digunakan untuk bermain fantasy football, tetapi juga boleh digunakan sebagai medium media sosial, membaca artikel, e-commerce dan banyak lagi.”