Kerana Saddil Ramdani, Datuk Ong Kim Swee diancam peminat Indonesia

9,335

Tindakan peminat-peminat bola sepak Indonesia yang menghamburkan kecaman keras ekoran isu Saddil Ramdani kepada jurulatih Datuk Ong Kim Swee dan Sabah FC sedikit pun tidak melemahkan semangat beliau.

Kim Swee berkata peminat Indonesia memang suka menggunakan provokasi apabila mereka tidak mendapatkan apa yang mereka mahukan.


“Kita tahu para penyokong Indonesia ni suka memainkan provokasi-provokasi dan saya dah masak dengan mereka ni,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kecaman-kecaman yang diterima itu berpunca daripada tindakan Sabah FC yang enggan melepaskan Saddil, penyerang tonggak pasukan Indonesia untuk kejohanan Sukan SEA.

Menurutnya, tidak menjadi kesalahan sekiranya Saddil tidak terlibat dengan kejohanan Sukan SEA kerana kejohanan tersebut tiada dalam kalendar FIFA.

Sekiranya Saddil dibenarkan untuk mewakili Indonesia di Sukan SEA, Sabah FC akan kehilangan pemain yang sangat penting untuk lima perlawanan.

Ini tidak adil bagi Sabah FC sebagai majikan kepada Saddil. Jika Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) meminta perlepasan sebanyak satu perlawanan, Kim Swee berkata beliau sanggup melepaskan Saddil tetapi jumlah lima perlawanan itu terlalu banyak.

“Kalau ada satu perlawanan, saya akan lepaskan tapi kita ada lima perlawanan yang penting. Adakah adil untuk kelab yang menjadi majikan kepada pemain tersebut?”

Walau bagaimanapun, Kim Swee menekankan bahawa Saddil ialah seorang yang profesional. Beliau faham bahawa Sabah amat memerlukan khidmatnya sebagai mesin pencetak gol buat pasukan.

Berkenaan isu Rizal Ghazali pula, Kim Swee berkata dia tidak setuju dengan tindakan Rizal menolak panggilan kem kebangsaan.

Menurut beliau, masalah itu dikatakan berpunca daripada masalah komunikasi antara Rizal dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Rizal sepatutnya bertanya tentang isu tersebut kepada majikan (Sabah FC). Sebagai bekas jurulatih kebangsaan, untuk tidak hadir apabila dipanggil ini merupakan satu masalah yang besar.

“Rizal seharusnya menghubungi pihak FAM jika beliau tidak dapat hadir atas masalah yang tidak dapat dielakkan.

“Mereka tidaklah kejam, kerana jika alasan yang diberikan itu munasabah, jurulatih kem negara pasti sanggup bertolak-ansur.”

Untuk pengetahuan, Rizal tidak hadir ke latihan pusat skuad Harimau Malaya yang berlangsung pada 14 Mac yang lalu tanpa memberitahu pihak yang berwajib.

Tindakannya itu telah menyebabkan Sabah FC terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi bagi memberi penjelasan.