Perak FC tukar logo & penaja lagi selepas XOX ambil alih?

2,238

Tidak dapat dinafikan sejak beberapa minggu yang lalu penyokong pasukan Perak FC gembira dan teruja apabila pasukan itu akhirnya mendapat pemilik baru iaitu syarikat telekomunikasi XOX Berhad.

Dengan pengambilalihan tersebut, Perak dijangka akan menyelesaikan segala masalah yang berlaku terutamanya isu tunggakan gaji pemain yang telah menyebabkan pasukan itu dipotong mata oleh Malaysian Football League (MFL).


Malah ramai juga tidak sabar untuk menyaksikan tiga pemain bintang iaitu Indra Putra Mahayuddin, Wan Zack Haikal dan Ahmad Syamim Yahya yang masih belum diturunkan berikutan pasukan The Bos Gaurus dikenakan larangan mendaftar pemain baru dek isu tunggakan gaji.

Sumber foto: PTY Twitter

Bagaimanapun perkara itu bakal diselesaikan tidak lama lagi apabila proses pertukaran hak milik pasukan itu selesai.

Namun apa yang menarik perhatian ramai terutamanya penyokong Perak sendiri adalah apakah pasukan itu akan menukar logo dan penaja sekali lagi?

Ini kerana terdapat gambar yang memperlihatkan pemilik baru Perak yang juga Pengerusi XOX Berhad iaitu Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi memakai jersi Perak baru dari jenama Cheetah.

Bagi mereka yang tidak tahu, jenama pakaian sukan Cheetah adalah milik XOX, jadi tidak hairanlah jika pasukan itu akan menggunakan jersi baru tidak lama lagi menggantikan jersi dari jenama Lotto yang dipakai ketika ini.

Sumber foto: PTY Twitter

Selain jersi baru, penyokong juga tertanya-tanya samada logo Perak akan ditukar berikutan terdapat gambar yang memperlihatkan individu memakai baju polo dengan logo Perak yang berbeza dengan logo XOX.

Untuk jenama jersi baru rasanya semuanya boleh sahkan bahawa jersi Perak baru akan menggunakan jenama Cheetah berikutan sebelum ini juga telah tersebar gambar Indra Putra memakai jersi Cheetah yang mempunyai logo Perak.

Sumber foto: PTY Twitter

Bagaimanapun yang samar-samar adalah logo samada mereka akan mengekalkan logo yang sama atau berkemungkinan akan menggunakan logo yang baru.

Diharap penyokong Perak dapat bersabar kerana semuanya akan terjawab juga dalam masa terdekat ini.

Jika semuanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang halangan, Perak bakal menjadi salah sebuah pasukan terkaya di Liga Malaysia dan tidak mustahil mereka bakal kembali menjadi pasukan gergasi seperti dahulu.

Kepada penyokong pula, teruskan memberikan sokongan kepada pasukan anda kerana sokongan anda terutamanya dalam pembelian tiket, jersi dan lain-lain secara tidak langsung akan membantu kewangan pasukan.

Jangan nak harapkan duit penaja saja. Kalau stadium sentiasa penuh sudah pasti ramai yang mahu menaja Perak. Jadi, ayuh semua penyokong, turun ke stadium untuk sokong pasukan anda.