Saya akan terus mendidik penyokong JDT dan Malaysia jadi lebih matang

600

Jika anda salah seorang penyokong setia pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), sudah pastinya anda akan mengenali dengan Farhan Khair atau lebih dikenali dengan nama penanya FK.

FK yang merupakan penyokong kuat Harimau Selatan sejak Tunku Mahkota Johor (TMJ) merevolusikan pasukan Johor FA kepada sebuah kelab yang terkenal ketika ini, iaitu JDT.


Tidak kira menang atau kalah, jiwa dan hatinya sentiasa untuk bola sepak JDT, dan itulah yang beliau cuba lakukan untuk penyokong kelab itu.

Walaupun tidak terikat secara rasmi dengan JDT, tetapi beliau sanggup mengambil inisiatif tersendiri untuk menyumbang tenaga kepada kelab tercinta dengan caranya tersendiri iaitu mahu mendidik penyokong menjadi lebih matang.

“Saya lihat sebelum ini dan sehingga sekarang ini kita (JDT) mempunyai ramai ‘die hard fans’ tetapi pasukan lain di Liga Malaysia tidak seperti itu. Oleh itu saya ambil inisiatif untuk luahkan dalam bentuk penulisan.

Objektif utama saya adalah untuk mendidik penyokong menjadi lebih profesional atau matang dan kedua adalah untuk didik mereka berikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut FK, sejak menulis mengenai kelab kesayangannya dari 2013 sehingga sekarang, beliau yakin lebih 70 peratus penyokong JDT semakin matang.

Apa yang beliau mahu lihat daripada penyokong adalah sentiasa menyokong kelab bukan sahaja ketika waktu menang sahaja, tetapi juga di waktu kalah.

“Saya dapat lihat perubahan daripada penyokong apabila perlawanan kumpulan ACL baru-baru ini yang mana walaupun kita kalah dengan Kawasaki Frontale 5-0, tetapi penyokong boleh menerima kekalahan itu.”

Malah FK juga mahu penyokong JDT tidak bersikap negatif dengan berkata ‘walaupun orang beri tahi, kita beri bunga’.

Beliau berkata demikian kerana mahukan penyokong mana-mana pasukan itu bersatu padu dikalangan penyokong sendiri kerana sukan bola sepak adalah untuk menyepadukan orang bukannya membuatkan orang berpecah belah.

Tambahnya lagi, beliau sangat mengalu-alukan penyokong bola sepak dari negeri lain untuk bersama menyokong JDT kerana baginya JDT bukan untuk penyokong negeri Johor sahaja, tetapi untuk semua.