Bila pengadil Malaysia akan terpilih ke Piala Dunia lagi?

1,552

Semalam Jawatankuasa Pengadil Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) telah mengumumkan senarai nama pengadil yang terpilih untuk saingan Piala Dunia Qatar 2022.

Dalam senarai itu, seramai 36 pengadil, 69 pembantu pengadil dan 24 pengadil video perlawanan (VMO) telah dipilih menerusi kerjasama dengan enam konfederasi berdasarkan kualiti dan persembahan pada perlawanan FIFA beberapa tahun kebelakangan ini.


Melihat senarai pegawai yang terpilih, pengadil dari Malaysia selagi tidak tersenarai dan ia telah membuktikan bahawa kualiti pengadilan di Liga Malaysia semakin merosot.

Satu ketika dahulu Malaysia mempunyai pengadil yang hebat dan mendapat pengiktirafan dan ia dibuktikan apabila tiga pengadil dari Malaysia pernah dipilih untuk mengadili perlawanan Piala Dunia sebelum ini.

Pengadil negara pertama yang terpilih adalah Kapten Halim Abdul Hamid ketika saingan Piala Dunia edisi Perancis 1998 yang mana menyaksikan kemunculan tiga ikon bola sepak iaitu Zinedine Zidane (Perancis), Ronaldo (Brazil) dan David Beckham (England).

Kali kedua pengadil negara menjadi perhatian dunia adalah pada Piala Dunia 2002 yang mana ketika itu Malaysia diwakili Mat Lazim Awang Hamat dan kali terakhir adalah Subkhidin Mohd Salleh pada Piala Dunia 2010 yang mana beliau ditugaskan untuk terlibat pada perlawanan pembukaan!

Kini sudah 12 tahun pengadil dari Malaysia tidak terpilih untuk bertugas di Piala Dunia dan ia berkemungkinan besar akibat kualiti pengadilan yang merosot sejak beberapa musim kebelakangan ini telah mencetuskan kemarahan ramai.

Tambahan pula rata-rata pengadil Liga Malaysia masih lagi berstatus amatur dan bukannya profesional.

Piala Dunia 2022 adalah edisi kedua yang akan menggunakan teknologi Video Assistant Referee atau lebih dikenali sebagai VAR.

Di Singapura segelintir pegawai mereka mempunyai kelayakan untuk menjadi pegawai VAR, jadi tidak hairanlah apabila seorang pengadil dari negara itu, Muhammad Taqi Jahari, terpilih sebagai pengadil video perlawanan dan menjadi satu-satunya pegawai dari Asia Tenggara.

Sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melakukan sesuatu untuk meningkatkan kualiti mutu pengadilan di Malaysia termasuk memperkenalkan kursus VAR kepada pengadil tempatan sebagai persediaan.

Malah FAM juga perlu segerakan wujudkan Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) yang tertunda sebelum ini akibat pandemik COVID-19.

Jika mutu pengadilan dapat dinaikkan ia secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti liga dan juga permainan pemain.