Nurshamil Ghani mampu ganti tempat yang ditinggalkan Syafiq Ahmad

4,221

Naib juara Liga Super 2021, Kedah Darul Aman FC yang bermula dengan baik di musim baru ini, kini bergelut untuk mengekalkan prestasi apabila mereka gagal mengutip mata maksimum apabila belum pernah menang dalam empat perlawanan terakhir mereka.

Prestasi pasukan Kedah mula merosot apabila penyerang Dennis Buschening mengalami kecederaan yang menyebabkan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak tidak dapat menggunakan pemain itu dalam tempoh yang lama.


Nasib malang skuad Hijau Kuning berterusan apabila pemain pertahanan dari Korea Selatan, Jang Suk-won berkemungkinan besar akan bersara berikutan mengalami kecederaan serius manakala seorang lagi pemain import tengah, Dechi Marcel turut mengalami kecederaan.

Situasi yang berlaku dalam pasukan ketika ini ternyata menjejaskan prestasi dan rentak pasukan dan Aidil kini runsing dalam membuat percaturan.

Sumber foto: Kelantan FC

Tidak cukup dengan kecederaan, penyerang Syafiq Ahmad yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) secara tiba-tiba dipanggil semula ke Harimau Selatan sekaligus menambah masalah buat Aidil.

Perkara itu diakui sendiri oleh pengendali dari Singapura itu yang turut memberitahu bahawa Kedah akan membawa masuk beberapa pemain baru pada jendela perpindahan kedua kali ini.

Apa yang membuatkan situasi di Kedah lebih parah adalah mereka akan bermain dalam saingan Piala AFC pada bulan Jun depan dan jika Aidil tidak dapat menyelesaikan isu pemain dalam masa terdekat ini, Kedah berkemungkinan akan menjadi ‘lauk’ pasukan lawan.

Persoalan yang timbul di kalangan penyokong Sang Kenari ketika ini siapakah pemain yang bakal dibawa masuk oleh Kedah nanti?

Terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa pemain sayap kiri JDT iaitu Akhyar Rashid akan pulang ke Darul Aman secara pinjaman, tetapi sehingga kini tiada sebarang pengesahan mengenai perkara itu.

Selepas kehilangan Buschening dan Syafiq di bahagian serangan, Kedah perlu mencari penyerang baru dan antara nama penyerang tempatan berkualiti yang boleh dipertimbangkan adalah penyerang lincah Kelantan FC iaitu Nurshamil Ghani.

Beliau merupakan penjaring terbanyak tempatan pada saingan Liga Perdana musim lalu dan untuk musim ini beliau sudah pun menjaringkan lima gol selepas tujuh perlawanan.

Untuk bahagian pertahanan pula ada beberapa nama yang dilihat mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Jang Suk-won iaitu Azam Azmi (Terengganu FC II) berikutan prestasi cemerlangnya bersama skuad B-23 negara.

Junior Eldstal juga boleh menjadi pilihan di bahagian tengah dan pertahanan berikutan kontraknya bersama kelab Chonburi yang bermain di Thai League 1 akan berakhir pada bulan Jun ini.

Jika Aidil mahukan gandingan penyerang import, pemain dari Terengganu FC II iaitu Jordan Mintah mungkin boleh dipertimbangkan kerana reputasinya sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu.

Senarai pemain ini hanyalah cadangan kerana Aidil berkemungkinan sudah pun mempunyai senarai pemain yang mahu dibawa masuk.

Jadi kita tunggu sahaja dalam masa terdekat ini siapakah yang akan menyarung jersi Kedah pada jendela perpindahan kedua ini.