Kim Pan-gon sudah bersiap sedia dengan beberapa ‘back-up plan’?

1,024

Sejak mengambil alih skuad kebangsaan Malaysia pada awal tahun lalu, Kim Pan-gon dilihat tidak menunggu lama apabila beliau dan barisan kejurulatihannya terus memulakan kerja mereka.

Apabila saingan Liga Mula membuka tirai, Pan-gon dan pembantunya mula menjelajah ke seluruh Malaysia bagi menyaksikan perlawanan-perlawanan pasukan Liga Super bagi melihat dan menilai sendiri pemain-pemain yang berpotensi untuk dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya.


Penyokong nyata teruja dan tidak sabar melihat apa yang bakal ditonjolkan dalam skuad kebangsaan selepas keputusan positif pada perlawanan persahabatan FAS Tri-Nations Series 2022.

Sumber foto: FAM FB

Bagaimanapun ketika pengumuman barisan 29 pemain yang diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 dan pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 ramai yang terkejut dengan barisan pemain yang diumumkan.

Ini kerana terdapat pemain yang tidak mempunyai minit permainan langsung turut dipanggil untuk sertai kem latihan berpusat, namun Pan-gon menyedari persoalan yang bakal timbul oleh itu beliau telah menjelaskan bahawa beliau mahu melihat sendiri prestasi setiap pemain yang dipanggil dan bukannya berdasarkan aksi persembahan sebelum ini.

Malah beliau juga dengan jelas menegaskan bahawa senarai 29 pemain yang dipanggil ini bukan bermakna mereka adalah pemain yang ‘pasti’ akan beraksi sebaliknya mereka boleh digugurkan pada bila-bila masa sekiranya tidak mempamerkan prestasi terbaik.

Seramai 29 pemain yang dipanggil termasuk 11 pemain yang berada dalam senarai bersedia, namun Pan-gon hanya akan memilih 23 pemain sahaja yang akan dibawa untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 nanti.

Sumber foto: FAM FB

Dengan falsafah baru yang akan diguna pakai oleh Pan-gon, penyokong dijangka akan menyaksikan perubahan corak permainan yang mana beliau akan menerapkan corak permainan berintensiti tinggi.

Pada awal pengumuman senarai 29 pemain, pemain pertahanan Negeri Sembilan FC iaitu Khair Jones turut tersenarai telah digugurkan berikutan mengalami kecederaan dan Pan-gon tidak menunggu lama apabila memanggil pemain muda dari PJ City FC iaitu V. Ruventhiran.

Lebih mengejutkan lagi apabila beliau turut memanggil seorang lagi pemain iaitu Shahrul Nizam dari Terengganu FC sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan pemain yang dipanggil untuk sertai kem latihan sebanyak 30 pemain.

Sumber foto: FAM FB

Pengumuman dua pemain baru itu walaupun mengejutkan ramai penyokong tetapi mereka tidak boleh menafikan kedua-dua pemain itu kini berada pada prestasi terbaik, oleh itu kemasukan mereka dilihat akan memberi saingan yang cukup kompetitif buat pemain lain.

Ia adalah satu petanda yang baik bukan sahaja kepada Pan-gon tetapi juga kepada penyokong kerana kita mungkin akan dapat menyaksikan Harimau Malaya yang lebih ampuh selepas ini.

Ramai yang tertanya-tanya mengapa Pan-gon tidak memanggil pemain yang berada dalam senarai bersedia untuk menggantikan pemain yang cedera? Apa perancangan Pan-gon sebenarnya apabila menambah seorang lagi pemain?

Apa yang boleh dilihat dari keputusan yang dibuat oleh Pan-gon ini seperti memberi bayangan bahawa beliau sebenarnya sudah mempunyai beberapa ‘back-up plan’ yang sudah siap sedia diguna pakai sekiranya perancangan asal terjejas.

Mungkin beliau sudah mempunyai Plan A, Plan B, Plan C malah Plan D yang bila-bila masa sahaja boleh diguna pakai.

Berdasarkan keputusan untuk membawa masuk dua pemain baru ini telah membuktikan Pan-gon sebenarnya mempunyai senarai pemain yang sudah mendapat perhatiannya yang boleh dipanggil pada bila-bila masa sahaja.

Pan-gon akan membuat penilaian pemain secara lebih mendalam lagi apabila skuad negara beraksi dalam dua perlawanan persahabatan menentang Brunei pada 27 Mei dan Hong Kong pada 1 Jun ini sebelum memutuskan barisan 23 pemain utama.

Mereka kemudian akan turun beraksi dalam pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 bagi kumpulan E yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 Jun ini.

Malaysia membuka tirai dengan menentang Turkmenistan pada 8 Jun, kemudian bertemu Bahrain pada 11 Jun dan perlawanan terakhir menentang Bangladesh pada 14 Jun.