Zamsaham ‘role model’ terbaik buat kelab Liga Malaysia urus pasukan

583

Kelab berpangkalan di Indonesia, PSPS Riau FC milik usahawan Malaysia, Norizam Tukiman baru sahaja menerima berita gembira apabila sebuah syarikat gergasi bersetuju untuk menajanya.

Norizam yang lebih dikenali sebagai Zamsaham berkata syarikat yang berpengkalan di Jakarta, Indonesia itu cukup dikenali dan merupakan konglomerat terbesar Indonesia.


Ia adalah satu perkara yang boleh dibanggakan oleh orang Malaysia kerana seorang anak tempatan berjaya mengembangkan lagi sayapnya dalam sukan nombor satu itu di peringkat antarabangsa.

Bukan sahaja di negara jiran, di Liga Malaysia Zamsaham turut menunjukkan contoh pengurusan yang baik mengendalikan pasukan Kelantan FC.

Sejak mengambil alih pada 2020, beliau telah melakukan satu proses ‘overhaul‘ terhadap kelab yang satu ketika dahulunya merupakan gergasi dalam arena bola sepak tempatan itu, terutama berkaitan masalah kewangan pasukan.

Antara ciri-ciri yang dilihat ada pada Zamasaham adalah beliau merupakan seorang yang mempunyai minat mendalam dalam sukan bola sepak dan mengetahui selok-belok cara sebuah kelab bola sepak beroperasi.

Cara beliau menguruskan pasukan dengan baik membuatkan beliau mendapat kepercayaan penaja yang mahu melaburkan wang mereka dalam pasukan miliknya.

Ini adalah salah satu kelemahan yang terdapat dalam sebilangan pasukan-pasukan di negara ini yang tidak mempunyai kepakaran untuk ‘buat duit’, menyebabkan mereka berdepan dengan masalah kewangan.

Walaupun Kelantan bermain di Liga Perdana, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa corak pengurusan yang ditampilkan oleh Zamsaham adalah lebih baik daripada kebanyakan pasukan yang bermain di Liga Super.

Liga Malaysia telah mencapai status profesional sejak 1994, tetapi isu seperti tunggakan gaji masih terus membelenggu banyak pasukan sehingga hari ini sampai ada pasukan yang terkubur akibat masalah itu.

Apa yang dilakukan oleh Zamsaham di Kelantan dan juga PSPS Riau harus dijadikan contoh oleh pasukan-pasukan lain dalam liga tempatan, terutama kelab-kelab yang berdepan masalah kewangan.

Dalam pada itu, sikap penyokong PSPS Riau yang sanggup berkorban untuk kelab juga harus dicontohi oleh peminat tempatan.

Dalam satu wawancara bersama media Indonesia, Zamasaham berkata bahawa beliau terkejut dan kagum apabila penyokong kelab itu setuju jika harga tiket dinaikkan sehingga 100 peratus demi menjana kewangan pasukan.

Mahu membalas kepercayaan penyokong pasukan itu terhadapnya, beliau mempunyai visi untuk membawa pasukan itu naik ke liga utama Indonesia.

Semua sudah sedia maklum betapa fanatiknya penyokong bola sepak Indonesia dan walaupun Malaysia dan negara jiran itu merupakan musuh ketat dalam bola sepak, ketokohan yang ditonjolkan Zamsaham berjaya memikat hati penyokong PSPS Riau.

Liga Malaysia amat memerlukan ramai lagi pemilik yang memiliki semangat juang yang tinggi dan pandai ‘buat duit’ seperti Zamsaham supaya dapat meningkatkan lagi kualiti.