V. Ruventhiran akan bermain mati-matian demi lencana di dada

679

Pemain muda V. Ruventhiran menegaskan beliau akan bermain mati-matian untuk pasukan kebangsaan sekiranya diberi peluang untuk turun beraksi pada perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 dan kelayakan Piala Asia 2023.

Beliau berkata demikian apabila mendapat panggilan daripada ketua jurulatih Kim Pan-gon sebagai pemain tambahan yang menjalani latihan berpusat Harimau Malaya walaupun sebelum ini tiada dalam senarai bersedia.


“Saya akan buat yang terbaik. Tak kira dalam senarai menunggu atau dapat panggilan, ini demi lencana! Sampai mati,”

katanya.

Ruventhiran mengakui berdepan sedikit kesukaran pada awal latihan berikutan banyak pemain-pemain senior yang berpengalaman, tetapi beliau sudah tanamkan dalam diri yang beliau perlu pastikan dapat sesuaikan diri dengan cepat.

Dikenali dengan jolokan ‘wonderkid’, mendapat panggilan untuk menyarung jersi kebangsaan adalah impian menjadi kenyataan dan beliau akan pastikan peluang yang diterima tidak akan dipersia-siakan.

“Saya percaya pada diri sendiri dan apabila sudah mendapat peluang ini sudah pasti saya akan terus bekerja keras untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama pula.”

Pada masa sama beliau turut berkata jurulatihnya pasukannya PJ City FC iaitu P. Maniam merupakan antara individu yang banyak membantunya dalam membentuknya menjadi seorang pemain berkualiti.

Ia telah terbukti apabila beliau kini menjadi salah seorang tonggak utama pasukan PJ City yang sering memberikan masalah kepada barisan pertahanan lawan menerusi larian pantas dan hantaran berbisa.

Dalam pada itu, pemain berusia 20 tahun itu juga tidak berdepan sebarang masalah dalam menyesuaikan diri dengan corak permainan berintensiti tinggi yang diterapkan oleh Pan-gon kerana ia hampir sama dengan corak permainan di PJ City.

“Saya tiada masalah langsung dengan corak permainan berintensiti tinggi kerana dalam bola sepak anda perlu sentiasa berlari untuk mendapatkan bola, membuat hantaran dan menjaringkan gol, jadi saya akan terus berlari sepanjang tempoh permainan.”

Skuad kebangsaan akan menentang Brunei pada 27 Mei ini dan Hong Kong pada 1 Jun ini dalam perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1.

Mereka kemudian akan memulakan kempen kelayakan Piala Asia 2023 pada dari 8 hingga 14 Jun ini.