Jersi Perak FC baru mungkin akan mendapat sentuhan pereka fesyen terkemuka Jovian Mandagie

5,032

Ketika proses penukaran pemilik Perak FC kepada XOX Berhad, beberapa gambar mula tersebar di media sosial memperlihatkan Indra Putra Mahayuddin memakai jersi pasukan baru dari jenama Cheetah.

Malah Pengerusi XOX Berhad yang juga kini merupakan Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi juga dilihat memakai jersi Perak dari jenama Cheetah memandangkan jenama pakaian sukan itu adalah milik XOX.


Spekulasi mengenai jersi baru The Bos Gaurus itu akhirnya terjawab sudah apabila Abdul Azim sendiri telah mengesahkan bahawa Perak akan memakai jersi baru dari jenama Cheetah dengan logo baru kelab bermula musim hadapan.

“Apabila musim baru mula peminat bola sepak Perak akan melihat satu perubahan yang ketara dari segi jersi dan logo kelab.

Ketika ini pasukan pereka dari Cheetah sedang mencorak/mereka jersi baru jadi kena tunggu dululah musim hadapan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Abdul Azim berkata ketika ini pasukan Perak masih lagi akan menggunakan jersi yang sama tajaan Prestige Sports dari jenama Lotto dengan kontrak selama dua tahun sehingga 2024.

Beliau bagaimanapun berkata pihak peguamnya kini sedang dalam proses meneliti kontrak tersebut dan akan cuba menamatkannya secara persetujuan bersama.

Jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, penyokong Perak pasti akan lebih teruja lagi apabila mendapat tahu bahawa jersi terbaru pasukan kesayangan mereka akan mendapat sentuhan daripada pereka terkemuka tanah air iaitu Datuk Jovian Mandagie.

Semua sedia maklum Jovian sangat dalam dunia fesyen dalam dan luar negara, tetapi ramai yang tidak tahu bahawa beliau telah dilantik sebagai pengarah kreatif untuk jenama tersebut jadi sudah pasti rekaan terbaru jersi Perak akan mendapat sentuhan ‘ajaib’ daripadanya.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perancangan masa hadapan pasukan Perak dalam menjana pendapatan pasukan, Abdul Azim berkata ia bukanlah satu masalah besar.

“Untuk menguruskan sebuah pasukan bola sepak di Liga Malaysia tak silap saya sekitar RM8 juta untuk semusim, jadi untuk menjana pendapatan pasukan perlu cari empat penaja yang mana setiap daripada mereka menaja sebanyak RM2 juta.

Untuk cari empat penaja bagi saya tidak sukar kerana dalam kumpulan syarikat kami sudah ada dan bersedia untuk menaja.”

Tambahnya lagi, itu belum lagi mengambil kira jualan barangan, jualan tiket dan lain-lain lagi. Oleh itu beliau yakin pasukan akan mampu menjana pendapatan.

Sementara itu, selepas mengambil alih pasukan Perak, Abdul Azim telah menetapkan tiga fasa untuk menaikkan semula pasukan bola sepak Perak.

Fasa pertama adalah jangka pendek yang mana fokus mereka adalah untuk layak ke saingan Liga Super dalam tempoh dua tahun.

Manakala fasa kedua pula adalah dalam tempoh tiga tahun iaitu pasukan Perak perlu berada dalam kedudukan Top 5 Liga Super.

Fasa terakhir iaitu pelan jangka panjang adalah untuk cuba memberi saingan sengit kepada juara bertahan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ternyata apa yang berlaku kepada salah sebuah pasukan tertua di negara ini ada hikmah disebaliknya apabila pasukan itu kini mendapat pemilik yang sesuai untuk menjadikan Perak sebagai pasukan gergasi dalam kancah bola sepak tanah air semula.