SNBJ masih dipenuhi sampah selepas tamat perlawanan

1,138

Isu sampah perlu dipandang serius oleh Perbadanan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). Kerana ianya bukan isu baru malah sudah banyak kali diperkatakan.

Setiap kali tamat perlawanan, dapat dilihat sampah sarap ditinggalkan merata-rata oleh segelintir penyokong.


Ia pasti memberi imej buruk buat negara pada pandangan penyokong asing yang datang menyaksikan perlawanan.

Pada 2019, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) pernah menyatakan hasrat untuk mengadakan kempen mengutip sampah dalam kalangan penyokong bola sepak setiap kali tamat perlawanan di SNBJ.

Namun ianya tidak menampakkan hasil kerana masalah ini tetap berulang-kali sehingga kini malah kempen ini turut dilihat sepi.

Seorang peminat bolasepak tanah air, dikenali sebagai MizieLyn, melontarkan cadangan beliau kepada Harimau Malaya.

“Stadium perlu bijak contohnya dengan edarkan plastik sampah pada masa 10 minit sebelum tamat separuh masa pertama dan kedua kepada penonton.

Selepas tamat perlawanan, pekerja kebersihan hanya mengangkut plastik sampah ini sahaja,”

katanya.

Cadangan ini sangat bernas kerana pihak SNBJ boleh meletakkan plastik sampah di setiap barisan penyokong bagi memudahkan pekerja stadium untuk mengutipnya selepas tamat perlawanan.

Pihak stadium juga perlu selalu mengingatkan penyokong supaya tidak membuang sampah merata-rata melalui pembesar suara dalam stadium sebelum dan selepas tamat perlawanan.

Kekurangan tong sampah dijadikan alasan sedangkan ianya bukan masalah utama punca masalah ini, sebaliknya mentaliti sesetengah penyokong itu sendiri masih rendah dalam menjaga kebersihan.

Penyokong perlu ada kesedaran yang tinggi dalam menjaga kebersihan stadium seperti fans Jepun, supaya tidak hanya mengharapkan pekerja kebersihan semata-mata.

Penyokong tegar sering kali melaungkan kata-kata keramat  seperti ‘This is Our Home’, ‘Home of Harimau Malaya’ tetapi kebersihan rumah sendiri tidak terjaga.

Kerjasama daripada semua pihak terutama para penyokong setia amat diperlukan untuk memastikan persekitaran stadium bebas dari sampah sarap.

Apa guna SNBJ dikenali sebagai antara stadium terbesar dan tercantik di dunia jika masih dibelenggu dengan masalah sampah?