Sandy Walsh pilih Indonesia, ketepikan Belgium, England, Ireland, Switzerland, Belanda, Afrika Selatan dan Somalia

217

Pemain KV Machelen di Liga Belgium, Sandy Walsh akan menjadi salah seorang daripada tiga pemain ‘import’ terbaru yang akan memperkuat pasukan Indonesia di pusingan akhir Piala Asia 2023.

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) kini berada di fasa terakhir bagi menyelesaikan proses dokumentasi pemain tersebut.


Walsh yang telah beraksi sebanyak 30 perlawanan di Liga Belgium musim ini merupakan antara pemain utama pasukan KV Machelen.

Beliau berjaya membantu pasukannya mengakhiri saingan liga di tangga ketujuh selepas mencapai 15 kemenangan dari 34 perlawanan.

Selain Indonesia, Walsh turut layak bermain untuk tujuh buah negara yang lain termasuk Belgium, England, Ireland, Switzerland, Belanda, Afrika Selatan dan Somalia ekoran daripada pertalian darah yang dimilki oleh ibu bapa beliau.

Pemilihan untuk mewakili pasukan Garuda dilihat sebagai pilihan yang paling tepat untuk membantu beliau memperoleh tempat bersama sebuah skuad kebangsaan.

Tiga negara gergasi bola sepak seperti Belanda, Belgium dan England mempunyai ramai pemain bintang dan akan menyebabkan kesukaran untuk pemain seperti Walsh bersaing untuk mewakili pasukan kebangsaan.

Pemain berusia 27 tahun itu sebelum ini pernah mewakili skuad B-17 Belanda yang telah berjaya menjuarai Kejohanan Remaja B-17 UEFA pada tahun 2012.

Kali terakhir pemain tersebut mewakili pasukan Belanda adalah pada tahun 2014 bersama skuad B-20 negara tersebut.

Walsh yang beraksi di bahagian bek kanan akan bersaing bersama seorang bintang muda Indonesia yang sedang beraksi di Liga Korea Selatan, Asnawi Mangkualam.

Situasi ini akan memperlihatkan kewibawaan ketua jurulatih Indonesa, Shin Tae-yong dalam merencana strategi untuk memanfaatkan kebolehan kedua-dua pemain ini.

Pada masa yang sama, pasukan Indonesia juga akan membawa bekas pemain Swansea City, Jordi Amat dari Sepanyol.

Beliau memiliki pengalaman yang luas di arena antarabangsa dan pernah beraksi untuk pasukan terkenal seperti Real Betis dan Espanyol di La Liga.

Selepas meninggalkan pasukan KAS Eupen yang bersaing di Liga Belgium, pertahanan tengah berusia 30 tahun itu dikhabarkan telah berada di Indonesia untuk menyelesaikan proses dokumentasi beliau.

Shayne Pattynama yang sedang beraksi bersama Viking FK di Norway menjadi seorang lagi pemain yang akan menyertai kem Garuda.

Kemasukan tiga pemain ini akan mengukuhkan lagi barisan pertahanan pasukan tersebut.

Pada pusingan kelayakan Piala Asia 2023 sebelum ini, pasukan Indonesia telah membariskan pemain naturalisasi, Marc Klok.

Klok berjaya membantu pasukan Indonesia menewaskan Kuwait pada perlawanan pertama selepas mencatat nama selaku penjaring gol menerusi sepakan penalti.   

Indonesia dilihat semakin komited dalam meningkatkan lagi kualiti pemain yang dipilih untuk membawa saingan pasukan Garuda di peringkat antarabangsa.

Pasukan kebangsaan Malaysia perlu mencontohi keazaman yang dimiliki oleh negara lain dalam melakukan segala usaha yang mampu untuk menjulang nama Harimau Malaya di arena antarabangsa.