KL City FC bukan pasukan bintang tetapi saya ada sekumpulan pemain yang rajin – Bojan Hodak

1,196

Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak memuji kerjasama dan kesungguhan anak buahnya selepas menundukkan Tampines Rovers FC 2-1 pada perlawanan Kumpulan H Piala AFC 2022 malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan KL City berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya sebagai naib juara terbaik zon ASEAN.


“Kami bukanlah pasukan yang banyak pemain bintang tetapi kami ada sekumpulan pemain yang rajin dan mereka bertahan, menyerang serta mencipta peluang sebagai satu pasukan dan itu adalah perkara yang paling penting.

Kami tak pernah belasah pasukan lain dengan jaringan besar tetapi kami juga tidak kalah dengan jumlah jaringan yang besar,”

katanya.

Mengenai perlawanan menentang Tampines Rovers, beliau berkata pasukannya memperlahankan sedikit tempo permainan pada separuh masa kedua memandangkan mereka akan layak ke peringkat seterusnya sekiranya berjaya mempertahankan kedudukan.

Katanya mereka hanya memfokuskan kepada serangan balas dan memberi peluang kepada pasukan lawan untuk menggerakkan bola.

“Kami bermain dengan tempo tinggi pada separuh masa pertama dan menjaringkan dua gol tetapi seseorang terlupa mengawal pemain nombor sembilan menyebabkan mereka mendapat satu gol.

Pada separuh masa kedua apabila anda sudah mendapatkan keputusan yang membolehkan anda layak, secara automatik anda akan mula bertahan.”

Pada perlawanan itu, KL City terlebih dahulu mendahului melalui dua gol awal Paulo Josue pada minit ke-16 dan 21 sebelum Tampines Rovers merapatkan kedudukan pada minit ke-37 pada melalui Boris Kopitovic.

KL City akan bertemu kelab Vietnam, Viettel FC pada peringkat separuh akhir zon ASEAN yang akan berlangsung pada 10 Ogos depan.