Ini adalah final Piala FA pertama buat saya, jadi ia istimewa buat saya – Farizal Marlias

819

Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias mengakui perlawanan akhir Piala FA pada musim ini sangat istimewa buat dirinya kerana ia merupakan yang pertama buat dirinya sejak menyertai pasukan.

“Saya sudah lama bersama JDT tapi pada tahun 2017 perlawanan akhir Piala Malaysia saya tidak dapat diturunkan kerana digantung ketika itu, jadi final Piala FA yang pertama untuk saya, jadi sudah pasti ia adalah istimewa buat saya,”

katanya.

Pada tahun 2017, kapten pasukan JDT itu telah digantung selama 12 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib Konfederasi Asia (AFC) selepas didapati bersalah mengasari pengadil perlawanan pada aksi separuh akhir kedua Piala AFC Zon Asia Tenggara.


Farizal bagaimanapun masih belum mengetahui samada beliau akan diturunkan atau tidak pada perlawanan esok, sebaliknya berkata sudah bersedia jika diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih Hector Bidoglio.

Terdahulu Farizal tidak diturunkan sebanyak dua kali pada perlawanan Liga Super menentang Selangor FC dan Melaka United FC yang mana tempatnya diganti dengan Haziq Nadzli.

“Saya sentiasa bersedia jika diberi kepercayaan oleh jurulatih untuk bermain pada malam esok, jadi keputusan itu semua bergantung kepada jurulatih dan saya percaya pemain-pemain sudah bersedia untuk perlawanan esok dan kita dapat lihat moral dan komitmen yang mereka berikan sangat baik.

Jadi saya berharap perkara baik ini dapat dibawa pada perlawanan esok.”

JDT akan menentang Terengganu FC pada perlawanan akhir Piala FA yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil esok (10 September) yang mana dijangka lebih 80,000 peminat akan membanjiri stadium.