Stadium Darul Aman dijangka ‘full house’ 4 Oktober ini, penyokong KDA FC, JDT hadir dengan seribu harapan

1,533

Berbaki lima lagi perlawanan Liga Super, Kedah Darul Aman FC kini dilihat telah mendapat kembali rentak kemenangan bagi menamatkan saingan musim ini dengan kukuh.

Kedah yang mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini mempunyai tiga lagi perlawanan di laman sendiri.


Perlawanan yang menjadi perhatian sudah tentulah pada 4 Oktober ini di mana pasukan itu akan menjadi tuan rumah kepada pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ia juga adalah perlawanan penting buat kedah mempertahankan ‘maruah’ pasukan kerana musuh ketat mereka itu berpeluang mengangkat trofi di Stadium Darul Aman sekiranya menang perlawanan itu.

Pihak pengurusan Kedah menyasarkan kehadiran 10,000 penyokong pada baki saingan liga di laman sendiri, terutama perlawanan menentang JDT yang dianggarkan menarik lebih daripada 10,000 penyokong.

Ini boleh dikatakan perlawanan paling penting buat Kedah bagi terus mengejar kedudukan tiga teratas untuk layak ke Piala AFC musim depan.

Bukan sahaja penyokong Kedah, penyokong JDT sendiri sudah tidak sabar-sabar untuk menyaksikan pasukan mereka menjulang piala Liga Super buat kali kesembilan beturut-turut.

Apa yang pasti, Stadium Darul Aman yang berkapasiti 32,387 sudah tentu akan penuh pada 4 Oktober ini dengan penyokong Kedah yang mengharapkan pasukan mereka menewaskan musuh ketat itu serta penyokong JDT yang tidak sabar melihat pasukan kesayangan mereka menjuarai liga.

Ditambah dengan ‘perang’ antara pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammada Sanusi Md Nor yang hangat di media sosial ketika ini, perlawanan itu dijangka bakal ‘full house’ dan mencatat rekod kehadiran di Stadium Darul Aman musim ini.