#YakiniLokal! Itulah fokus utama PJ City FC dalam saingan Liga Super

433

Dalam banyak-banyak pasukan di Liga Malaysia terutamanya di Liga Super, pasukan PJ City FC merupakan pasukan yang boleh dikatakan mengambil pendekatan berbeza berbanding pasukan-pasukan lain apabila berkaitan dengan pemilihan pemain mereka.

Apa yang menarik mengenai pasukan berpengkalan di Petaling Jaya, Selangor ini adalah mereka adalah satu-satunya pasukan yang tidak menggunakan pemain import, sebaliknya menggunakan pemain tempatan sahaja sebagai pemain utama mereka.


Selari dengan moto mereka iaitu #YakiniLokal, PJ City FC berjaya buktikan bahawa pemain tempatan juga mampu memberi saingan hebat kepada pasukan-pasukan mempunyai pemain import.

Sumber foto: PJ City FC Facebook

Untuk musim hadapan yang merupakan musim keempat PJ City FC, mereka akan terus memberi peluang dan kepercayaan kepada pemain tempatan apabila mereka bakal menandatangani beberapa pemain baru yang akan diumumkan kelak.

Selain itu, mereka juga telah mengumumkan pemain-pemain yang disambung kontrak iaitu Mahali Jasuli, Darren Lok, Filemon Anyie Standly, Sunil Caven Chandran, Mohammad Raffi, Jeremy Lim dan Gurusamy Govandar.

Sumber foto: PJ City FC Facebook

Walaupun skuad kendalian P. Maniam ini boleh dikatakan pasukan kerdil tetapi mereka telah banyak kali membuktikan mereka adalah pasukan yang diperlu dihormati lawan berikutan gergasi seperti Johor Darul Ta’zim juga pernah tumbang di tangan mereka.

Jika dilihat percaturan yang dibuat oleh PJ City FC, mereka bukan sahaja mengambil pemain-pemain muda tempatan tetapi juga mengambil pemain tempatan senior untuk dijadikan sebagai ‘mentor’ kepada pemain-pemain muda sekaligus dapat meningkatkan kualiti permainan mereka.

Sumber foto: PJ City FC Facebook

Pertaruhan yang dilakukan skuad yang diberi jolokan The Phoenix ini telah membuahkan hasil apabila pemain penyerang mereka iaitu Kogileswaran Raj kini semakin hangat diperkatakan terutamanya selepas mempamerkan prestasi terbaik pada saingan Piala AFF 2020 baru-baru ini.

Tidak mustahil satu hari nanti PJ City FC akan menjadi lubuk buat ‘ubi-ubi’ muda mendapat pengalaman bermain dalam liga berprestij seperti Liga Super.

Pasukan-pasukan lain di Liga Malaysia bukan sahaja boleh menjadikan PJ City FC sebagai contoh bukan sahaja dari segi mengutamakan pemain tempatan, tetapi juga cara pengurusan pasukan yang mana kita lihat pasukan ini tiada kes tunggakan gaji pemain.