Ikhsan Fandi bakal berdepan JDT di AFC Champions League?

311

Pemain penyerang sensasi Singapura, Ikhsan Fandi telah sah akan menyarung jersi pasukan gergasi Thailand, BG Pathum United selama dua tahun.

Pengesahan terbaru itu akan menyaksikan Ikhsan yang juga anak kepada lagenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad akan bergandingan bersama abangnya Irfan Fandi yang turut bermain untuk BG Pathum sejak 2019.


Ikhsan dikatakan akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Diogo susulan mengalami kecederaan pada bahu.

BG Pathum yang merupakan juara Thai League 1 dijangka bakal bertemu dengan pasukan juara lapan kali Liga Super Malaysia iaitu JDT dalam saingan AFC Champions League pada tahun hadapan.

Sebelum ini Ikhsan pernah bermain di Liga Norway bersama dua pasukan berbeza iaitu Rousfoss IL untuk musim 2019/2020 dan FK Jerv untuk musim 2020/2021 sebelum mengambil keputusan untuk berhijrah ke Thailand untuk main bersama abangnya di BG Pathum.

Pemain berusia 22 tahun ini mempunyai rekod yang agak baik ketika beraksi di Norway dan cemerlang bersama pasukan kebangsaan Singapura yang kini sedang beraksi di Piala AFF.

Perlawanan separuh akhir pertama membabitkan Singapura dan Indonesia semalam, Ikhsan telah berjaya menjaring gol dari gerakan cantik untuk mengikat Indonesia.

Kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan kedua mereka pada 25 Disember ini bagi merebut slot ke perlawanan akhir di antara Vietnam atau Thailand.