Ratu pecut kongsi rahsia kekal sihat

567

Jika anda seorang pencinta sukan olahraga, anda pasti mengenali Siti Fatimah Mohamad.

Pelari pecut wanita negara itu masih gagah di balapan meskipun dia kini berusia 33 tahun.


Apa yang menyebabkan dia masih relevan untuk disenaraikan dalam skuad olahraga kebangsaan?

“Saya jaga pemakanan, proses pemulihan, latihan dan mental. Sebab itu, saya memang bersungguh-sungguh dan kekal fokus untuk mencapai cita-cita saya beraksi di Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada tahun depan.

“Ambil makanan tepat pada masa, ambil makanan tambahan dan vitamin yang secukupnya.

“Lebihkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Saya juga kurangkan makanan yang berlemak dan berminyak.

“Beberapa hari sebelum kejohanan, saya ambil sumber protin yang mudah dihadam,” kata anak jati kelahiran Johor itu.

Perjalanan karier Siti Fatimah dalam sukan olahraga cukup berliku tetapi semua kejadian yang berlaku telah menjadikan hatinya lebih kental memilih untuk tidak bersara lebih awal.

“Selagi saya mampu, saya akan terus berusaha. Usia tidak akan menyekat saya melakukan apa yang saya suka,” katanya yang pernah menjalani pembedahan kaki kanan pada 2009.

Pemenang pingat gangsa 4x100m di Sukan SEA 2015 itu pernah terpalit dengan kontroversi membabitkan isu doping atas kesalahan lari daripada ujian air kencing hingga digantung selama setahun lapan bulan pada 2012.

Peristiwa hitam itu menyebabkan Siti Fatimah memilih untuk meninggalkan olahraga dan beralih ke sukan berbasikal pada 2013.

Kariernya dalam sukan berbasikal tidak lama apabila pemegang rekod kebangsaan 4x100m itu memilih untuk kembali bergelar pelari pecut biarpun jurulatih basikal negara, John Beasley menyifatkan dia mempunyai bakat dan mampu pergi lebih jauh.

“Saya tidak menyesal bertukar acara, sekurang-kurangnya saya boleh berlatih tanpa ada gangguan,” katanya.

Siti Fatimah berkayuh dalam acara lebuh raya untuk mendapatkan ketahanan di samping pengetahuan asas dalam sukan lumba basikal di bawah bimbingan jurulatih Graham Seers

Tidak pernah berkayuh sejak zaman kanak-kanak, dia pada mulanya agak gementar apabila berkayuh di atas jalan.

Namun, kerjaya sebagai pelumba basikal tidak berpanjangan apabila dia kembali ke acara olahraga.

Pada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di Stadium Mini MSN Bukit Jalil baru-baru ini, Siti Fatimah yang mewakili ATM memenangi acara 100 meter wanita.

Dia mengungguli saingan dengan catatan 12.27 saat (s) manakala bagi acara 200m dia merakam masa 24.7s.

Kejayaan ini membuktikan bahawa dia masih bertenaga dan sehingga kini tiada pelari yang mampu mencabar ketangkasannya.