Sarawak United ibarat ‘telur di hujung tanduk’, giliran skuad B-21 jadi mangsa tunggakan gaji seterusnya

511

Terdahulu, pihak Malaysia Football League (MFL) telah member satu lagi talian hayat terakhir buat pasukan Sarawak United dan Melaka United untuk mereka mengemukakan rayuan untuk mendapatkan lesen kebangsaan.

Kedua-dua pasukan ini gagal mendapatkan lesen tersebut memandangkan permohonan mereka gagal memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh MFL.


Pasukan ini perlu memiliki kesemua kriteria yang diperlukan menjelang tarikh akhir rayuan tersebut yang telah diputuskan pada 19 Oktober ini.

Namun, masa depan Sarawak United untuk kekal bersaing di dalam Liga Super musim hadapan dilihat semakin samar selepas muncul khabar tidak gembira tentang pasukan B-21 kelab tersebut.

Sebuah posting di Facebook telah berkongsi tentang situasi semasa yang melibatkan pemain-pemain serta staf kejurulatihan pasukan B—21 Sarawak United yang belum menerima sebarang bayaran gaji selama empat bulan.

Perkara ini mendapat pelbagai reaksi daripada peminat tambahan pula perkara yang sama telah terjadi kepada skuad senior sebelum ini.

Walau bagaimanapun, masih tiada kepastian dapat dilakukan kerana masih belum ada kenyataan yang dikeluarkan daripada mana-mana pihak yang terlibat setakat ini.

Sekiranya perkara ini benar-benar terjadi, semestinya ia akan merencatkan serta menutup harapan buat peminat Ngap Sayot untuk melihat pasukan kesayangan mereka terus beraksi di kancah Liga Super.

Para pemain pasukan Sarawak United perlu mula berfikir tentang masa depan mereka dengan mencari peluang untuk ‘angkat kaki’ untuk bersama dengan kelab lain musim depan bagi memastikan karier mereka tidak terkubur begitu sahaja.

Antara pemain muda yang dilihat memiliki potensi besar adalah Raja Imran Shah yang menjadi antara pilihan utama di barisan pertahanan pada musim ini.

Ketinggian serta fizikal tubuhnya menjadi kelebihan buat beliau untuk beraksi di bahagian kegemarannya, pertahanan tengah.

Sepanjang 22 perlawanan musim ini, beliau telah diturunkan sebanyak 14 kali dan 11 daripadanya adalah sebagai kesebelasan utama.

Raja Imran pernah bermain untuk pasukan Selangor FC II untuk setahun sebelum menyertai Negeri Sembilan FC pada awal 2021 untuk membantu pasukan tersebut di dalam saingan Liga Perdana musim lalu.

Beliau pernah membantu skuad muda Selangor PKNS FC bergelar juara Piala Belia pada tahun 2018 sebelum membantu pasukan tersebut memenangi Piala Presiden setahun selepas itu.  

Selain Raja Imran, Sarawak United turut memiliki ramai pemain berbakat seperti penjaga gawang, Tauffiq Ar Rashid serta bekas pemain skuad B-23 negara, Zharmien Ashraf dan Tasnim Fitri.

Sarawak United menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga ke-11 dan bakal bertemu dengan naib juara Liga Perdana, TRW Kelantan FC di saingan Piala Malaysia pada 25 Oktober kelak.

Semestinya peminat turut berduka dengan nasib yang bakal menimpa namun ia adalah jalan yang terbaik bagi mengelak lebih ramai pemain menjadi mangsa.