Isu gaji Perak FC tak habis-habis lagi?

437

Isu tunggakan gaji lagi! Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) terus dibelenggu masalah gaji apabila mereka sekali lagi disaman oleh pekerjanya.

Saman tersebut telah difailkan oleh Izham Firdaus Bin Jamaludin Sufli dan dua rakan lain menamakan Presiden PAFA sebagai defendan.


Menerusi satu surat saman yang dimuat naik di Seladang Fans Club Facebook, Presiden PAFA telah diminta hadir ke Pejabat Tenaga Kerja Ipoh pada 30 Disember ini dengan membawa bukti-bukti mengenai tuntutan.

Sumber foto: Seladang Fan Club Facebook

Defendan dan plaintif dikehendaki bersemuka untuk mencari jalan penyelesaian secara baik dan sekiranya kes tidak dapat diselesaikan pada hari sebutan, satu tarikh perbiacaraan akan ditetapkan dan dibicarakan di Mahkamah Buruh.

Ini bukanlah kali pertama PAFA disaman kerana sebelum ini mereka pernah disaman RM500,000 oleh pemain Korea Selatan, Jeon Hyo-seok melalui Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Jun lalu selepas mendakwa dia sudah memeterai ikatan dengan PAFA tetapi tidak jadi diambil selepas mendapati pemain itu mengalami kecederaan.

Sumber foto: Perak Power Facebook

Bagaimanapun PAFA dalam satu kenyataan balas menyifatkan tuntutan Hyo-seok sebagai tidak sah kerana tuntutan itu dibuat menggunakan salinan kontrak yang diberikan sebagai rujukan dan bukannya kontrak yang telah ditandatangani kedua-dua belah pihak.

Pasukan The Bos Gaurus mula goyah pada pertengahan musim apabila isu gaji mula kedengaran walaupun tiada sebarang pengesahan rasmi berhubung isu berkenaan.

Bagaimanapun peminat semakin yakin pemain ada masalah dengan pihak pengurusan apabila perestasi pasukan merudum dengan mendadak selain beberapa pemain meninggalkan pasukan antaranya Rainderson Da Costa, Leandro Dos Santos dan Shakir Hamzah.

Sumber foto: Perak FC Facebook

Isu tunggakan gaji nyata memberi impak besar buat pasukan Perak FC apabila mereka tersingkir dari Liga Super dan akan bermain di Liga Perdana untuk musim 2022, manakala Perak II pula akan diturunkan ke Liga M3.

Dalam pada itu, Perak FC berkemungkinan tidak akan mengalami masalah gaji lagi apabila mereka telah mendapat dana sebanyak RM7.62 juta dari kerajaan negeri Perak.

Suntikan dana tersebut merangkumi RM4.62 juta kepada Perak FC melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan RM3 juta kepada PAFA sebelum penswastaan.

Dengan bantuan kerajaan negeri adakah masalah tunggakan gaji pasukan Perak FC akan berulang lagi? Atau pihak pengurusan Perak FC akan mengambil langkah bijak dengan membuat persiapan menghadapi musim baru secara berhemah? Sama-sama kita tunggu dan lihat.