Muhaini teruskan legasi Penaung BAM

381

Kehadiran isteri Perdana Menteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) memberikan sinar baharu kepada warga badminton negara.

Muhaini akan meneruskan legasi isteri Perdana Menteri sebagai Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM).


Kunjungan dan ucapan ringkas yang disampaikan Muhaini pada pertemuan itu sedikit sebanyak menyuntik semangat barisan jurulatih, pemain dan keluarga BAM.

Pada pertemuan itu, ketibaan Muhaini disambut kepimpinan tertinggi yang diketuai Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Beliau menerima sejambak bunga sebagai tanda selamat datang daripada barisan pemain-pemain.

Beliau kemudiannya diberi taklimat tentang sistem operasi dan peracangan BAM sebelum di bawa ke auditorium untuk menyampaikan amanat.

Meskipun masih baharu menyertai keluarga BAM, Muhaini dilihat mampu meneruskan kecemerlangan bekas penaung terutamanya pada era Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Di bawah naungan Siti Hasmah, BAM melakar banyak kejayaan di pentas antarabangsa termasuk pada temasya Sukan Olimpik.

Namun, Siti Hasmah pasti tidak dapat melupakan detik kegemilangan badminton negara ketika Malaysia muncul juara Piala Thomas 1992.

Pada aksi final, skuad badminton negara merekodkan gelaran kelima apabila muncul juara dengan menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Negara.

Antara detik tegang yang terpaksa dihadapinya adalah pertelingkahan antara dua jaguh beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang.

Beliau terpaksa menjadi orang tengah bagi menyelesaikan perselisihan faham tersebut sebelum kedua-dua pemain berjaya memberikan persembahan terbaik untuk membantu Malaysia menjadi juara.

Beliau mengambil tanggungjawab apabila berjumpa sendiri dengan Soon Kit dalam usaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Tidak hairanlah apabila pemain-pemain menganggap Siti Hasmah sebagai ibu di atas rasa sayang yang ditunjukkannya.

Sumber Foto: Bernama

Kesungguhan Siti Hasmah terhadap sukan badminton negara diteruskan oleh Datin Seri Rosmah Mansor iaitu isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sejak diamanahkan ke jawatan itu, pasukan badminton negara melakar banyak kejayaan terutama pada Sukan Olimpik.

Sokongan dan naungan Rosmah juga berjaya memastikan kontroversi yang sering berlaku dapat diselesaikan dengan baik.

Jasa paling besar Rosmah ialah menyelesaikan kemelut perebutan jawatan Presiden BAM.

Kejayaan ini menunjukkan BAM sebagai sebuah persatuan yang patut dicontohi dan rundingan adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan sebarang masalah.

Ia juga menunjukkan kematangan Rosmah yang telah meletakkan perpaduan persatuan di atas kepentingan diri.

Maka tidak hairanlah, walaupun hanya beberapa tahun dilantik ke jawatan itu, Rosmah melakar pencapaian yang jauh lebih baik daripada penaung-penaung BAM sebelumnya.

Tidak mustahil di bawah naungan Muhaini nanti, Malaysia akan memenangi pingat emas pertama pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Antara nama lain yang pernah menjadi Penaung BAM ialah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Tun Jeanne Abdullah Danker dan Allahyarham Tun Datin Paduka Seri Endon Mahmood.