Safee Sali bakal pulang ke PJ City FC?

261

Selepas berjaya meraih kejuaraan Piala Malaysia 2021 baru-baru ini bersama KL City FC, bekas penyerang kebangsaan Safee Sali dikatakan berkemungkinan besar akan kembali ke pangkuan PJ City FC untuk musim Liga Super 2022.

Bagaimanapun perkara ini belum dapat dipastikan memandangkan tiada maklumat lanjut mengenai samada beliau akan kembali menyarung jersi The Phoenix atau tidak.


Ini kerana menurut sumber, tiada nama lagi yang dapat didedahkan buat masa ini tetapi memberitahu pemain yang bakal kembali ke PJ City FC adalah bekas pemain pasukan itu.

Berdasarkan carian pemain-pemain PJ City FC yang meninggalkan pasukan itu beberapa musim lalu, rasanya Safee Sali merupakan antara calon yang berkemungkinan besar akan kembali ke pasukan berpengkalan di Petaling Jaya itu.

Apa yang menguatkan lagi khabar angin itu adalah dengan pendekatakan terbaru PJ City FC iaitu #YakiniLokal menjadikan Safee adalah pemain yang sangat sesuai kerana walaupun sudah berusia, namun beliau mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang mampu menjadi mentor kepada pemain-pemain muda.

Selain itu, antara faktor lain yang menguatkan lagi khabar angin itu adalah Safee dalam salah satu temubualnya sebelum ini pernah menyatakan peluangnya terhad ketika beraksi bersama KL City FC dan beliau tetap tidak menjadi pilihan jurulatih walaupun penyerang utama cedera.

Kenyataannya kemudian mendapat respon daripada jurulatih KL City FC iaitu Bojan Hodak yang berkata Safee tidak sesuai dengan perancangan taktikalnya, selain pemain itu bukan lagi seperti pemain yang beraksi 10 tahun lalu. Jadi Safee hanya akan diturunkan mengikut perancangan dan formasi yang bersesuaian.

Berdasarkan rekod, kali terakhir Safee boleh dikatakan bermain sepanjang musim adalah ketika beliau menyarung jersi PKNS FC pada musim 2017/2018 dengan bermain sebanyak 33 perlawanan dan menjaringkan sembilan gol.

Safee kemudian telah berhijrah ke pasukan utara Perlis FC pada awal musim 2019, namun atas masalah tunggakan gaji beliau mengambil keputusan untuk bermain bersama PJ City FC yang mana beliau berjaya menjaringkan tiga gol dalam 14 penampilannya. Manakala ketika beraksi dengan KL City FC beliau hanya bermain dalam 10 perlawanan dengan satu jaringan sahaja.

Jadi samada benar atau tidak Safee akan kembali ke PJ City FC? Kita tunggu perkembangan terbaru dalam masa terdekat ini.