‘Sandiwara’ BAM taruh pemain muda

188

Menurunkan bakat-bakat baharu untuk menggalas cabaran negara pada kejohanan tahap tertinggi antara fokus utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tahun depan.

Adakah ini langkah yang baik atau BAM sekadar mahu ‘melepaskan batuk di tangga’ agar peminat tidak menyalahkan mereka jika eksperimen itu tidak berjaya.


Strategi ini diharap tidak ‘makan diri’ jika barisan pemain muda tersebut gagal bermain seperti mana yang diharapkan.

Seperti yang berlaku pada tahun ini, BAM mempertaruhkan ramai pemain muda selepas mereka menyelaras semula senarai pemain sehingga ada antara mereka berhijrah menjadi pemain profesional.

Namun, percaturan itu ternyata kurang memberi impak besar apabila pemain-pemain muda menghadapi masalah konsistensi dari segi mental dan ketahanan.

Situasi itu menyebabkan mereka sukar untuk mencapai kejayaan dalam setiap kejohanan yang dihadapi.

Beberapa kategori dilihat sangat kritikal ketika ini kerana menghadapi masalah kekurangan pemain terutamanya acara perseorangan lelaki, beregu lelaki dan perseorangan wanita.

Cabaran dalam kategori perseorangan lelaki hanya digalas Lee Zii Jia manakala S. Kisona dalam acara perseorangan wanita.

Berbanding Zii Jia yang berjaya merangkul gelaran juara Seluruh England, Kisona pula masih mencari rentak.

Kegagalan memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik dan Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini menyebabkan BAM dikritik hebat.

Selain itu, pemain-pemain negara juga menampilkan prestasi tidak menentu sepanjang sembilan kejohanan terakhir bermula dengan Piala Sudirman di Vantaa, Finland sehingga Kejohanan Badminton Dunia 2021 baru-baru ini.

Bertindak daripada kritikan itu, BAM mengumumkan bakal melakukan penstrukturan semula barisan kejurulatihan dan pemain untuk menghadapi cabatan tahun depan.

Antara nama yang disebut-sebut untuk diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran negara tahun depan ialah tiga pemain perseorangan remaja lelaki, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh dan Leong Jun Hao.

Dalam acara perseorangan wanita pula, BAM dijangka mempertaruhkan lima pemain baharu yang dinaikkan pangkat ke skuad senior Oktober lalu seperti Joanne Ng dan Siti Nurshuhaini Azman.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Datuk Kenny Goh diberi tanggungjawab untuk mengumumkan perancangan tersebut.

Sudah tentu peminat-peminat sukan badminton negara mengharapkan satu keputusan yang baik tetapi mereka seakan-akan sudah mengetahui jawapannya.

Bagaimanapun, jika semua perancangan BAM menjadi, tidak mustahil pemain-pemain muda ini mampu mencipta kejayaan pada Sukan Olimpik 2024.

BAM pernah membuat langkah berani apabila mengetengahkan barisan pemain muda pada saingan Piala Uber, Oktober lalu.