Peminat mahu TMJ fokus pada JDT sahaja tanpa ada kaitan dengan FAM

262

Peminat pasukan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) nyata tidak gembira dengan tindakan seorang bekas pemain tempatan yang mengaitkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris dengan pasukan bola sepak Malaysia baru-baru ini.

Walaupun TMJ telah tampil menafikan perkongsian Hairuddin Omar yang berkata baginda pernah mencadangkan Bojan Hodak adalah calon sesuai untuk kemudi pasukan Harimau Malaysia selepas skuad kendalian Tan Cheng Hoe tersingkir pada saingan Piala AFF 2020 baru-baru ini.


Sumber foto: JDT Fans Team Facebook

Rata-rata peminat JDT FC meluahkan pandangan mereka yang menyokong tindakan TMJ untuk tidak lagi masuk campur atau ada sebarang kaitan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sebaliknya mahu baginda fokus pada JDT FC sahaja.

Menurut salah seorang pemilik akaun Facebook bernama Nur Zahra, tiada gunanya TMJ berbakti sekiranya tiada orang menghargai usaha baginda.

Sumber foto: JDT Fans Team Facebook

“Memang ada baiknya jika TMJ fokus pada JDT FC sahaja. Sebelum ini TMJ banyak keluarkan duit poket sendiri pun tidak dihargai netizen, dan pelbagai lagi usaha untuk kemajuan bola sepak negara tidak dipedulikan pun.

“Malah mereka sebenarnya lebih teruja hanya untuk menunggu peluang berlaku sedikit kekurangan dari TMJ kekhilafan dari TMJ atau kekalahan Harimau Malaya untuk menjadi modal mereka kecam dan viral. Tidak gunanya berbakti untuk yang tidak menghargai,” tulisnya.

Sumber foto: JDT Fans Team Facebook

Seorang lagi peminat turut menyokong kenyataan Nur Zahra dengan berkata; “TMJ hanya untuk JDT. Kami tak mahu TMJ dihina sesiapa lagi. Siapa-siapa yang rasa dah cukup bagus uruslah Harimau Malaya. Biar TMJ untuk JDT.”

Malah seorang lagi peminat iaitu Hanafi Nafi berkata dia sememangnya tidak bersetuju ketika TMJ memegang tampuk kepimpinan FAM kerana tahu ramai ahli-ahli politik dalam FAM bersikap talam dua muka.

“Aku tahu ahli-ahli politik dalam FAM bermuka-muka, baling batu sembunyi tangan. Sama juga dengan cybertrooper yang diupah untuk menyingkirkan TMJ. Setelah semua masalah dalam FAM selesai, duit habis kutukan dan hinaan yang TMJ dapat.”

Sumber foto: JDT Fans Team Facebook

Terdahulu, TMJ dalam kenyataan di Instagram miliknya berkata baginda kini sedang fokus memberi bantuan kepada mangsa banjir dan sedang giat membuat persiapan sekiranya Johor turut dilanda banjir.

Pada masa sama baginda turut menegaskan bahawa baginda tidak mempunyai sebarang kaitan dan tidak akan memberi pandangan mengenai pasukan kebangsaan.

Diharap selepas ini tiada lagi ada pihak yang cuba ‘menangguk di air keruh’ demi kepentingan diri sendiri.