TRW Kelantan FC terlalu banyak rahsiakan persiapan pasukan

288

Apabila tiba hujung tahun, setiap peminat bola sepak tanah air teruja dengan berita-berita mengenai bola sepak terutamanya pasukan kegemaran mereka seperti khabar angin perpindahan pemain, siapa akan mengemudi pasukan, pemain baru serta pelancaran jersi terbaru.

Bagaimanapun berbeza pula dengan pasukan TRW Kelantan FC yang mengambil pendekatan menyembunyikan atau berahsia dengan peminat mereka mengenai persiapan pasukan sejak dibeli oleh usahawan burger dan pakar pelaburan iaitu Norizam Tukiman atau lebih dikenali dengan panggilan Zamburger.


Jika pasukan lain sedang rancak mengumumkan pemain-pemain yang akan menyertai pasukan mereka untuk saingan Liga Malaysia musim hadapan, TRW Kelantan FC hanya memuat naik memaklumkan mengenai rancangan mereka sahaja.

Sumber foto: TRW Kelantan FC Facebook

Menerusi pengumuman di laman sosial rasmi Facebook TRW Kelantan FC, mereka memaklumkan bahawa pasukan akan memulakan latihan pertama mereka pada awal Januari 2022.

Pasukan yang terkenal dengan jolokan The Red Warrior ini juga berkata mereka sudah 99 peratus siap merekrut pemain dan pengumuman rasmi yang akan menyarung jersi Merah Putih akan diadakan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan nanti oleh pihak pengurusan.

Perkembangan terbaru ini nyata tidak menyenangkan rata-rata peminat TRW yang meluahkan rasa kecewa mereka apabila pasukan kesayangan mereka mengambil pendekatakan merahsiakan maklumat persiapan pasukan daripada peminat.

Sumber foto: TRW Kelantan FC Facebook

Berbeza dengan pasukan lain yang bersikap terbuka dan terus mengumumkan berita gembira sekiranya menandatangani pemain atau jurulatih baru.

Seorang peminat iaitu Nik Zakwan Nza dalam komennya meluahkan rasa kecewanya dengan pengurusan TRW yang terlalu banyak berahsia.

“Dulu semangat juga nak tahu. Sekarang ini terlalu berahsia. Sikit-sikit ‘legal’. Lebih dari EPL pula. Dengan hampir separuh pemain baru. Tiap-tiap tahun jadi ‘rebuild’. TRW macam hilang identiti. Bukan menidakkan kredibiliti pengurusan tapi harap ada perubahan baik dari segi pemain dan ‘merchandise club’.”

Sumber foto: TRW Kelantan FC Facebook

Seorang lagi peminat iaitu Deen Bayu pula berkata dia merindui zaman TRW yang dahulu di mana dia sangat teruja menanti pengumuman pemain, namun kini ia seperti hambar dan mengecewakan.

Dalam pada itu, ada juga peminat yang merasakan TRW hanya akan bermain di Liga Perdana sahaja kerana tidak mampu pergi jauh dengan bajet yang ada ketika ini.

Walaupun ada yang kurang senang dengan cara pihak pengurusan baru, namun ada juga peminat yang masih menaruh harapan tinggi buat TRW.

Sumber foto: TRW Kelantan FC Facebook

“Tahniah kepada ketua jurulatih TRW Kelantan FC, semoga tahun ini lebih baik daripada tahun lepas. Semoga pasukan TRW terus naik ke Liga Super tahun hadapan seperti pemilik kelab harapkan,” tulis pemilik akaun Az Man.

Diharap pihak pengurusan dapat mendengar pandangan daripada peminat dan memperbaiki segala kelemahan yang ada kerana peminat adalah tulang belakang bagi setiap pasukan. Tanpa peminat, sesebuah pasukan tidak akan dapat bertahan lama. Jadi hargai sokongan peminat.