Noor Zaidi Rohmat gantikan Hassan Sazali, kendali Projek FAM-MSN

730

Susulan daripada persembahan yang ditunjukkan oleh para pemain pasukan Projek FAM-MSN pada saingan Liga Perdana musim ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah melakukan keputusan untuk melakukan perubahan di barisan kejurulatihan.

Posisi ketua jurulatih yang sebelum ini diisi oleh Hassan Sazali bakal diserahkan kepada Noor Zaidi Rohmat yang sebelum ini bergelar selaku pembantu jurulatih.


Keputusan ini disampaikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kali Keenam bagi Penggal 2021-25 di Wisma FAM.

“Perkembangan teknikal, Jawatankuasa Eksekutif FAM bersetuju melantik ketua jurulatih Projek FAM-MSN yang baru iaitu Encik Noor Zaidi Rohmat bagi kempen Liga Malaysia 2023.

Pasukan ini akan bersaing di dalam Liga Simpanan,”  

kata beliau.

Ini mungkin memberi petanda bahawa Zaidi juga akan memegang tanggungjawab besar selepas ini dalam melatih skuad B-19 negara.

Hal ini kerana secara kebiasaannya, ketua jurulatih skuad Projek FAM-MSN akan turut memegang jawatan sama bagi pasukan B-19.

Namun, setakat ini tiada perubahan bagi kedudukan Hassan di barisan kejurulatihan B-19 negara berdasarkan kenyataan oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman.

“Pasal Hassan Sazali adalah proses biasa, beliau membimbing pasukan B-19 negara pada ‘tournament basis’ dan kontrak beliau bersama Projek FAM-MSN akan tamat pada penghujung tahun ini.

Jadi kita naikkan Noor Zaidi selaku ketua jurulatih skuad projek tetapi untuk pasukan B-19 masih belum dibincangkan lagi.”

Zaidi akan bertanggungjawab merangka strategi untuk membimbing pasukan ini bagi menghadapi saingan Liga Simpanan yang bakal diperkenalkan pada musim hadapan.

Liga Simpanan yang akan melibatkan pemain di bawah umur 23 tahun dilihat akan memberi peluang kepada pemain Projek FAM-MSN untuk lebih menyinar.