Boleh isytihar JDT sebagai juara MPFL 2023 sebelum bertanding, dijangka borong lebih ramai pemain bintang dari Pahang Rangers selepas Selangor MAC

7,444

Pasukan futsal Johor Darul Ta’zim yang bakal ditubuhkan untuk saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim depan nampaknya akan diperkuat oleh “pasukan kebangsaan”.

Desas-desus ini bertiup kencang selepas juara berganda musim lalu, Selangor MAC secara rasmi mengumumkan pemergian tujuh pemain yang telah membantu mereka bagi menjuarai saingan MPFL musim ini serta menjuarai kejohanan Piala Futsal Malaysia 2022.


Pemain tersebut merupakan antara muka utama skuad kebangsaan iaitu Ekmal Shahrin, Azri Rahman, Azwann Ismaill serta penjaga gol, Azrul Hadee Taufiq.

Pada masa yang sama, mereka juga turut melepaskan Saad Sani, Danial Dain serta Firdaus Ambiah yang juga merupakan antara nadi utama pasukan buat musim ini.

Tidak mustahil jika kesemua pemain ini bakal dibawa masuk ke pasukan futsal JDT musim depan memandangkan status kelab tersebut sebagai sebuah gergasi bola sepak di Malaysia.

Jika perkara ini benar-benar berlaku, di atas kertas, JDT akan menjadi pasukan terkuat musim depan serta berkemungkinan mampu untuk menyekat dominasi yang selama ini dipegang oleh Selangor MAC.

Tambahan pula, JDT semestinya akan memaksimakan penambahan kuota pemain import yang telah diberikan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan merekrut bintang berstatus dunia daripada Amerika Selatan atau Eropah.

Selain Selangor MAC, ada beberapa pemain utama Pahang Rangers juga dilihat bakal menjadi sasaran seterusnya untuk JDT yang masih rancak dalam usaha menyediakan pasukan untuk saingan musim depan.

Pemain yang dilihat berpotensi diambil adalah bintang futsal kebangsaan, Farhan Khairul, Abu Haniffa serta Saiful Nizam.

Untuk seorang lagi pemain, Ridzwan Bakri difahamkan baru sahaja menandatangani tempoh lanjutan tiga tahun namun tidak mustahil jika JDT ingin menebus kontrak tersebut.

Malah, pemain Perak seperti Mohd Bazli, Eddy Chandra dan Mohd Fairuz dilihat ‘available’ kerana pasukan tersebut disahkan tidak akan menghantar penyertaan untuk musim depan.

Difahamkan, saingan MPFL musim depan bakal diperkuat oleh 18 pasukan yang akan dibahagikan kepada dua kumpulan berdasarkan zon bagi memudahkan urusan penyusunan logistik pada hari perlawanan.

Berdasarkan kedudukan tersebut, JDT akan berada dalam Kumpulan B bersama Selangor MAC dan Pahang Rangers tergolong sebagai salah sebuah pasukan di dalam Kumpulan A.

Situasi ini akan menyajikan aksi yang cukup menarik tatkala peminat bakal menantikan pertembungan di antara JDT dan Selangor MAC bagi membuktikan kehebatan mereka yang sebenar.

Meskipun bakal membawa jurulatih baru dari luar negara, Selangor MAC dijangka akan berhadapan dengan sedikit kesukaran dalam menyesuaikan corak latihan jurulatih baru ditambah dengan ketiadaan pemain-pemain penting buat pasukan.

Namun, dengan rekod yang dipegang selama ini oleh Selangor MAC di dalam kancah futsal negara, mereka akan kekal menjadi salah sebuah pasukan yang bakal menerajui saingan liga.

Dalam pada itu, semoga dengan perkembangan baik di dalam arena futsal negara ini dapat terus menarik lebih ramai peminat sukan di Malaysia untuk sama-sama memberi sokongan serta memeriahkan saingan MPFL yang dijadual bermula pada Februari tahun hadapan.

Selain itu, dengan penglibatan JDT yang bagaikan ‘game changer’ untuk mana-mana acara sukan negara, diharap lebih banyak penaja akan menampilkan diri untuk pembangunan futsal Malaysia.