Jurulatih Jepun kini melatih Serbia! Jurulatih Malaysia juga perlu berani keluar dari zon selesa untuk lebar kerjaya di luar negara

406

Pagi tadi pasukan Brazil telah memulakan kempen Piala Dunia 2022 Qatar dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan Serbia 2-0 dalam perlawanan Kumpulan G.

Walaupun perlawanan berlangsung dengan menarik, namun bukan corak permainan atau pemain yang hendak diperkatakan sebalik adalah seorang figura berasal dari Jepun yang berada dalam kem pasukan Serbia iaitu Katsuhito Kinoshi yang dilihat lantang menyanyikan lagu kebangsaan Serbia sebelum sepak mula berlangsung.


Bagi yang tidak mengenali siapa Kinoshi, beliau merupakan penolong ketua jurulatih pasukan kebangsaan Serbia dibawah Dragon Stojkovic, yang juga merupakan lagenda sebagai pemain dan ketua jurulatih di Jepun.

Kinoshi menjadi jurulatih Jepun pertama dan mungkin jurulatih Asia pertama yang berada dalam barisan kejurulatihan untuk pasukan gergasi Eropah.

Beliau telah membuktikan bahawa jurulatih dari Asia juga mampu bersinar di luar negara dan boleh dijadikan contoh kepada jurulatih-jurulatih tempatan di Malaysia untuk cuba melebarkan sayap mereka ke luar negara sekaligus keluar dari zon selesa.

Tidak dapat dinafikan sememangnya terdapat beberapa jurulatih tempatan yang masih dan pernah melatih kelab atau pasukan kebangsaan luar negara seperti Lim Teong Kim yang pernah menjadi jurulatih pasukan remaja Bayern Munich (kini ketua jurulatih Perak FC), Datuk K. Rajagopal bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Brunei, Raja Isa kini merupakan ketua jurulatih untuk kelab Muktijoddha SKC di Bangladesh dan V. Saravanan pula melatih HJK Helsinki di Finland.

Namun jurulatih tempatan terutamanya jurulatih baru/muda perlu berani untuk mengubah angin bagi menimba ilmu di peringkat antarabangsa dan mana tahu satu hari nanti akan ada jurulatih dari Malaysia yang akan mengharumkan nama negara dengan mengenali pasukan kebangsaan di Eropah, walaupun semua sedia maklum mereka jarang cari jurulatih dari Asia.

Berbalik kepada Kinoshi, beliau memulakan karier kejurulatihannya pada tahun 2003 sebagai jurulatih kecergasan di Omiya Ardija, yang mana beliau kemudian telah menyertai Yokohama FC sebagai penolong ketua jurulatih dan jurulatih kecergasan sehingga 2008.

Kinoshi kemudian berhijrah ke Nagoya Grampus pada tahun 2008 yang mana ketika itu beliau dilantik sebagai jurulatih kecergasan dan bekerjasama dengan Stojkovic buat pertama kali.

Selepas enam tahun, beliau kemudian dinaikkan pangkat kepada penolong ketua jurulatih kepada Stojkovic yang mana mereka telah mengendalikan 278 bersama sebelum Stojkovic meninggalkan kelab itu.

Bagaimanapun tidak lama kemudian kedua-dua mereka kembali bekerjasama tetapi kali ini di kelab berbeza iaitu di Guangzhou City R&F di China.

Kedua-dua mereka kemudian berhijrah lagi tetapi kali ini bukan mengendalikan kelab sebaliknya dilantik untuk mengendalikan pasukan kebangsaan Serbia yang mana Stojkovic bertindak sebagai ketua jurulatih, manakala Kinoshi sebagai jurulatih kecergasan.

Komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Kinoshi telah membuatkan beliau dinaikkan pangkat kepada penolong ketua jurulatih setahun kemudian dan kini kedua-dua mereka bersama dalam kempen Piala Dunia 2022.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai Stojkovic pula, pengendali berusia 57 tahun ini bukan asing dalam kalangan peminat bola sepak di Jepun kerana beliau merupakan lagenda J. League apabila menyertai Nagoya Grampus Eight pada tahun 1994 yang mana ketika itu ia dibawah bimbingan Arsene Wenger (jurulatih lagenda Arsenal).

Sebelum berhijrah ke Jepun, Stojkovic merupakan kapten pasukan kebangsaan Yugoslavia dan Red Star Belgrade dan merupakan salah seorang pemain terbaik dalam sejarah bola sepak Yugoslav dan Serbia.

Beliau juga pernah bermain untuk Yugoslavia pada Piala Dunia 1990 (di mana beliau terpilih untuk World Cup All-Star Team) dan Piala Dunia 1998 sebagai kapten.

Sepanjang tujuh musim beraksi bersama Nagoya Grampus Eight, beliau telah bermain sebanyak 183 perlawanan dan menjaringkan 57 gol.

Stojkovic juga pernah dinobat sebagai MVP J. League untuk musim 1995 dan menamatkan karier sebagai pemain bola sepak profesional bersama kelab itu pada tahun 2001. Beliau sangat terkenal dalam kalangan peminat Grampus sehinggakan mereka mewujudkan satu chant khas buatnya apabila beliau menjaringkan gol iaitu “Ale Piksi”.

Apabila bersara sebagai pemain bola sepak, Stojkovic kembali menabur bakti bersama Nagoya Grampus pada tahun 2008 sebagai ketua jurulatih dan beliau tidak mengambil masa lama untuk memberi impak apabila beliau berjaya membawa kelab itu menamatkan musim di tangga ketiga dan juga membawa kelab itu beraksi di AFC Champions League (ACL) buat pertama kali pada musim pertamanya.

Stojkovic mendedahkan beliau banyak belajar mengenai cara mengendalikan kelab bola sepak daripada bekas ketua jurulatih Arsene Wenger, yang berjaya membawa kelab itu menjadi naib juara Emperor’s Cup pada tahun 1995.

Pada 2010 beliau telah mencipta sejarah apabila berjaya membawa Nagayo Grampus menjuarai gelaran J. League buat pertama kali dalam sejarah kelab itu. Beliau juga kemudian telah menerima anugerah J. League Manager of Year atas kejayaannya pada musim 2010.