Mukhairi Ajmal tekad tembus senarai akhir 23 pemain, ingin tebus semula maruah Harimau Malaya di Piala AFF

437

Pemain tengah muda Selangor FC, Mukhairi Ajmal memasang impian besar untuk menarik perhatian ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon bagi menyenaraikan namanya pada saingan Piala AFF tahun ini.

Beliau yang juga merupakan bekas ketua pasukan B-23 negara percaya bahawa beliau miliki kemampuan yang diperlukan serta mampu untuk menyumbang sesuatu kepada pasukan kebangsaan.


“Saya akan beri sehabis baik dan buat yang terbaik jika dapat untuk Piala AFF kali ini.

Saya akan tunjuk kemampuan saya kerana saya memang letak harapan untuk berada di dalam pasukan,”

katanya kepada media.

Tambahan pula, beliau meletakkan sasaran yang tinggi untuk membawa skuad negara beraksi cemerlang pada saingan Piala AFF kali ini.

Mukhairi percaya bahawa beliau atau mana-mana pemain yang dipilih mampu untuk membawa Harimau Malaya melangkah ke perlawanan akhir bagi menebus semula kehampaan yang dilalui pada edisi terakhir pada tahun 2020.

“Setiap tahun saya memang sasarkan ke final.

Itu memang matlamat saya.”

Beliau baru sahaja menyertai kem latihan selepas diberikan cuti ekoran kerana turut beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia baru-baru ini menentang Johor Darul Ta’zim FC.

Mukhairi perlu segera menyesuaikan diri dengan pemain-pemain yang dipanggil untuk memudahkan beliau mengekalkan momentum kecemerlangan yang berjaya dipamerkan sewaktu beraksi bersama pasukan Selangor sebelum ini.

“Saya bersyukur kerana dapat kembali ke pasukan senior, semalam saya rasa agak kekok kerana baru bercuti.

Hari ini, saya akan perbaiki mana yang kurang.”

Pemain berusia 21 tahun tersebut juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan barisan pemain yang telah dipanggil oleh jurulatih pada ketika ini.

Beliau percaya bahawa keserasian yang baik dapat dihasilkan dengan segera meskipun beraksi buat pasukan yang lain di peringkat kelab.

“Bagi saya, kita sebagai pemain profesional kita perlu percaya kepada rakan sepasukan kita.

Itu paling penting dalam setiap pasukan dan ini akan lebih membantu kita menyediakan lambakan pemain yang lebih besar.”

Kehadiran Mukhairi akan menambahkan lagi kerancakkan persaingan merebut tempat di posisi tengah negara.

Buat masa ini, beliau akan bersaing dengan pemain-pemain seperti Brendan Gan, David Rowley dan Stuart Wilkin.

Persaingan sengit namun dengan potensi yang dimiliki oleh Mukhairi menunjukkan beliau memiliki keupayaan untuk melangkah lebih jauh.