Bolot tiga anugerah dalam ABK 2022, kata-kata TMJ mengenai Arif Aiman gambaran sempurna

3,356

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman menamatkan musim cemerlangnya dengan menggondol tiga anugerah pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022 malam tadi.

Beliau berjaya meraih anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP), Penyerang Terbaik serta Pemain Muda Terbaik, sekaligus mengulangi pencapaian musim lalu.


Kecemerlangan yang dikecapi oleh Arif bukanlaah satu rahsia kerana pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah mendedahkan sikap pemain berusia 20 tahun itu.

Dalam satu komen di laman Instagram, TMJ ada mengatakan bahawa Arif Aiman seorang pemain yang fokus terhadap prestasinya, dan mempunyai komitmen tinggi terhadap bola sepak berbanding perkara di luar padang.

Tidak hairanlah beliau mampu menampilkan prestasi yang cukup cemerlang musim ini, serta menunjukkan peningkatan berbanding musim lepas.

Musim ini, beliau berjaya menjaringkan lapan gol dan 20 bantuan gol dalam 38 perlawanan untuk JDT.

Beliau juga merupakan watak penting buat kelab itu dalam melayakkan diri ke pusingan kalah mati AFC Champions League (ACL) buat pertama kali selepas mencipta gerakan untuk gol minit akhir yang menyaksikan JDT menang 2-1 ke atas Ulsan Hyundai.

TMJ sebelum ini pernah mendedahkan bahawa beliau hanya menerima gaji berjumlah RM11,000 musim lalu, jumlah yang tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan reputasinya.

Namun, itu tidak menghalangnya untuk memberikan persembahan yang tidak ternilai sehingga berjaya menjadikan dirinya pemain terbaik negara.

Seperti kata TMJ, komitmen pemain itu terhadap prestasinya jelas berjaya membawanya ke satu tahap yang tinggi di saat ada pemain-pemain lain yang gagal menyerlah di kelab itu.

Dengan persaingan yang sengit untuk mendapatkan tempat dalam skuad utama di JDT dan pendekatan ‘survival of the fit’ yang pernah diberitahu oleh pengarah teknikal, Hector Bidoglio, adalah penting untuk memberikan 100 peratus fokus terhadap karier.

Dan ia berjaya dibuktikan oleh Arif walaupun ramai lagi pemain-pemain lain yang lebih berusia dan berpengalaman darinya di kelab.

Selain daripada Arif, empat lagi pemain JDT lain turut berjaya membawa pulang anugerah iaitu Bergson da Silva (Pemain Import Terbaik dan Penjaring Terbanyak Liga Super), Shahrul Saad (Pertahanan Terbaik), Afiq Fazail (Pemain Tengah Terbaik) dan Daryl Sham (Penjaring Terbanyak Liga Perdana).

Tujuh pemain kelab itu juga dinamakan dalam Fans XI (Kesebelasan Terbaik), manakala JDT juga turut dianugerahkan sebagai Kelab Terbaik.