Dominic Tan percaya ketiadaan Dion Cools tidak memberi masalah, pemain lain mampu isi kekosongan

917

Pertahanan kebangsaan, Dominic Tan tidak merasakan ketiadaan Dion Cools dalam Piala AFF akan datang bakal menjadi satu masalah kepada pasukan kerana pemain-pemain yang ada juga mempunyai kualiti tersendiri.

Beliau percaya skuad yang dibawa kali ini merupakan skuad yang baik dan pemain-pemain yang ada harus membuktikan kemampuan mereka.


“Saya rasa ini adalah skuad yang baik dan pemain-pemain yang ada kali ini harus bekerjasama untuk berikan yang terbaik pada Piala AFF akan datang.

Saya lihat kami sentiasa menunjukkan peningkatan dan dua perlawanan persahabatan sebelum ini menunjukkan perkara itu,”

katanya.

Beliau tidak menganggap tempatnya dalam skuad selamat kerana saingan untuk merebut tempat dalam pasukan amat sengit.

Beliau berharap mampu membawa momentum kemenangan dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini ke kejohanan tersebut.

Tambahnya, barisan kejurulatihan sentiasa memastikan para pemain memperbaiki kelemahan selepas setiap perlawanan.

“Setiap perlawanan kita dapat lihat perkara yang baik dan juga buruk, apa yang penting adalah barisan kejurulatihan akan menganalisis dan kemudian fokus terhadap kelemahan yang perlu diperbaiki.

Bermain dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini adalah baik untuk persiapan kami dalam menilai skuad.”

Menurut Dominic, dua kemenangan tersebut sedikit sebanyak dapat menanam mentaliti kemenangan dalam kalangan pemain.

Malaysia bakal turun dalam aksi pertama Piala AFF menentang Myanmar 21 Disember ini di Stadium Thuwunna, Yangon.