Suraya Yaacob yakin dalam tempoh tiga tahun bola sepak wanita akan memperlihatkan peningkatan ketara

436

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Suraya Yaacob menyuarakan keyakinan bahawa peningkatan ketara dalam bola sepak negara akan dapat dilihat dalam tempoh tiga tahun ini.

“Saya rasa dalam tempoh tiga tahun. Kita kena mulakan dengan SUKMA, bila ada SUKMA persatuan bola sepak negeri, majlis sukan negeri, sekolah sukan negeri akan ada kumpulan-kumpulan yang akan menjadi feeder kepada pasukan kebangsaan. Itu merupakan pencapaian yang ingin kita capai dalam tempoh tiga tahun,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Suraya, untuk merealisasikan impian tersebut beliau berharap akan mendapat sokongan penuh daripada semua pihak yang terlibat.


“Saya rasa untuk pembangunan bola sepak wanita dan juga pencapaian di peringkat tertinggi perlukan sokongan daripada semua pemegang taruh, dan pemegang taruh paling penting adalah persatuan bola sepak negeri dan juga ibu bapa, keluarga dan media.

Jika keseluruhan ekosistem ini dapat bergerak dan memberi bantuan, sokongan serta dorongan saya percaya bola sepak wanita Malaysia akan berkembang dengan baik dan mempunyai pemain yang cukup ramai di peringkat akar umbi dan kemudiannya kita dapat tumpukan pada pasukan elit (pasukan Malaysia). Itu merupakan sesuatu yang ingin kita capai dan ia tidak boleh dicapai dengan cepat melainkan dengan usaha gigih semua pihak.”

Beliau juga berharap agar persepsi terhadap pemain bola sepak wanita dapat dihakis dan lebih ramai pemain-pemain wanita dari luar Lembah Klang seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu dapat melahirkan ramai pemain wanita berkualiti.

Pada masa sama Suraya juga sangat berharap sokongan penuh daripada keluarga kerana tanpa sokongan daripada ibu bapa sukar pastinya sukar untuk mencari bakat-bakat baru.

Dalam pada itu, Suraya yang ditemui selepas FAM Regional Women’s Footbal Festival turut berkata festival ini akan diteruskan ke negeri-negeri lain.

“Festival ini akan berlaku selepas ini di Johor, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain yang akan berlangsung sehingga bulan Mac 2023. Kemudian pada bulan Jun kita akan mulakan siri LWN (Liga Wanita Nasional) yang menampilkan 10 pasukan terbaik dengan sebanyak 136 perlawanan akan berlangsung sepanjang tempoh enam bulan.”