Soleen Al Zoubi kagum dengan semangat kental pemain muda wanita walaupun terdapat jurang besar dengan pemain senior

715

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita, Soleen Al Zoubi nyata kagum dengan semangat kental pemain-pemain muda wanita negara, namun beliau turut mengakui terdapat jurang yang besar dari segi kualiti di antara pemain muda dan senior.

“Sangat penting untuk saya cuba kurangkan jurang di antara pemain senior dan junior, tetapi perkara yang bagus saya kagum dengan semangat pemain muda yang kental dan tidak takut untuk bersaing dengan pemain senior yang lebih berpengalaman.

Perkara ini membuatkan saya lebih selesa jika mahu menggabungkan pemain muda dan senior dalam skuad negara kerana untuk tempoh jangka masa panjang, pemain-pemain muda ini adalah yang paling penting ketika ini,”

ujarnya kepada Harimau Malaya.

Soleen berkata demikian selepas beliau menghadiri FAM Regional Women’s Footbal Festival yang berlangsung pagi tadi.


Beliau juga berkata buat masa ini beliau mahu melihat terlebih dahulu kesemua pemain yang ada dan membuat pemilihan pemain yang akan diserap ke skuad negara, sebelum membuat perancangan rapi termasuk tempoh yang diperlukan untuk bentuk sebuah pasukan yang ampuh.

Soleen juga memberi penekanan terhadap pembangunan bola sepak wanita dari akar umbi kerana ia perlu dibentuk dari satu peringkat ke peringkat dan ia memerlukan masa.

Dalam pada itu, beliau berkata festival bola sepak wanita yang berlangsung sebentar tadi adalah untuknya dan barisan kejurulatihan lain membuat pemilihan pemain untuk diserap ke skuad negara.

“Sebenarnya kami ketika ini sedang mencari pemain untuk tiga pasukan kebangsaan iaitu untuk skuad B-17, skuad B-20 dan skuad utama.”

FAM Regional Women’s Footbal Festival akan berlangsung di beberapa negeri lain selepas ini dengan fokus utama untuk mencari lebih ramai pemain bola sepak wanita terbaik.

Sementara itu, Soleen juga meluahkan rasa bersyukurnya apabila peminat bola sepak negara menyambut baik pelantikan beliau sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita negara yang baru.

“Ia merupakan satu penghargaan buat saya dan saya juga ingin berterima kasih kepada media di atas sokongan mereka terhadap bola sepak wanita dan berharap sokongan ini dapat diteruskan.

Pada masa sama saya juga berharap dapat memenuhi harapan dan jangkaan peminat untuk memperoleh kejayaan.”