KPG tak akan pilih kami jika merasakan kami tak mampu pergi jauh di Piala AFF – Quentin Cheng

1,006

Pemain pertahanan negara, Quentin Cheng menegaskan bahawa 23 pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon bagi menghadapi kejohanan Piala AFF 2022 adalah pemain yang bagus dan berkualiti.

Quentin pada masa sama juga menyuarakan keyakinan bahawa skuad Harimau Malaya mampu mara ke perlawanan akhir.


“Saya percaya kami mempunyai kualiti untuk pergi jauh pada kejohanan Piala AFF nanti kerana setiap pemain terpilih di sini sangat bagus dan coach tak akan pilih kami jika beliau tidak rasa kami tidak mampu pergi jauh di Piala AFF nanti. Jadi saya percaya kami mempunyai peluang untuk mara ke perlawanan akhir nanti,”

katanya.

Harimau Malaya akan memulakan kempen Piala AFF 2022 pada 21 Disember ini menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Yangon; 24 Disember menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil; 27 Disember menentang Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi dan pada 3 Januari 2023 menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam pada itu, pemain berusia 23 tahun ini juga tidak ambil pusing dengan pandangan peminat yang menganggap skuad negara ke Piala AFF kali ini adalah skuad Harimau Malaya B.

“Semua orang ada pandangan masing-masing termasuk peminat. Kami tahu tidak ada banyak pemain JDT jadi saya rasa mungkin mereka label kami sebagai Harimau Malaya B. Tapi kami sebagai pemain tidak pusing sebaliknya hanya fokus untuk beri yang terbaik nanti.”

Sementara itu, Quentin juga mengakui beliau dan rakan sepasukannya kini berada pada tahap terbaik dan tiada masalah untuk menerapkan corak permainan berintensiti tinggi seperti yang dikehendaki oleh Pan-gon.