Kami bukan habiskan masa berlatih untuk suka-suka, tapi kami mahu pergi jauh pada Piala AFF nanti – Fazly Mazlan

1,101

Pemain pertahanan negara, Fazly Mazlan menegaskan bahawa beliau dan rakan sepasukan yang sedang menjalani kem latihan pusat Harimau Malaya bagi menghadapi kejohanan Piala AFF 2022 mempunyai misi penting iaitu mahu pergi sejauh yang mungkin dalam kejohanan itu nanti.

“Saya lihat kami mempunyai untuk pergi jauh dalam kejohanan kali ini kerana semua pemain bermain habis-habisan untuk negara, sebab kami di sini bukan habiskan masa berlatih suka-suka tapi kami fokus untuk pergi sejauh yang mungkin,”

katanya.

Menurut Fazly, beliau meletakkan keyakinan yang cukup tinggi dengan pemain-pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon dan berkata tidak mustahil untuk Harimau Malaya menjulang Piala AFF pada edisi kali ini.


“Bagi saya tidak mustahil untuk kita menang sebab dalam bola sepak ini apa sahaja boleh berlaku, jadi insyaAllah jika ada rezeki pastinya kita akan menang,”

Fazly berkata demikian selepas melihat aksi skuad Harimau Malaya dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini ketika menentang Kemboja dan Maldives baru-baru ini yang menyaksikan mereka berjaya menang 4-0 dan 3-0.

Piala AFF akan berlangsung bermula 20 Disember 2022 hingga 16 Januari 2023 dengan menyaksikan skuad negara akan bermain dua perlawanan di tempat sendiri dan dua perlawanan di tempat lawan.

Harimau Malaya akan memulakan kempen Piala AFF 2022 pada 21 Disember ini menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Yangon; 24 Disember menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil; 27 Disember menentang Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi dan pada 3 Januari 2023 menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam pada itu, pemain berusia 28 tahun ini mengakui beliau pada mula berdepan sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan dan taktikal yang diterapkan oleh Pan-gon, namun selepas dua minggu menjalani latihan kem pusat Harimau Malaya beliau sudah berjaya menyesuaikan diri.

“Ketika ini persiapan pasukan berada pada tahap terbaik walaupun pada mulanya agak sukar untuk saya menyesuaikan diri taktikal skuad negara sebab berbeza dengan kelab saya. Tapi selepas beberapa minggu berlatih bersama Alhamdulillah semakin serasi dan sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan Piala AFF kali ini.”

Sementara itu, untuk rekod pasukan Malaysia pernah berjaya menjuarai Piala AFF sekali sahaja iaitu pada tahun 2010 yang mana skuad negara ketika itu dikendalikan oleh Datuk K. Rajagopal.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen