Tindakan Sri Pahang lepaskan Hasnul Zaim dan kekalkan Muslim Ahmad cetuskan kemarahan peminat Tok Gajah  

1,407

Pasukan pantai timur, Sri Pahang FC baru sahaja mengumumkan senarai pemain yang telah dilepaskan oleh kelab dan tidak akan bersama lagi pada saingan musim hadapan.

Antara pemain yang dilepaskan adalah penjaga gol import dari Senegal, Mamadou Samassa serta beberapa tenaga tempatan seperti Fandi Othman, Daniel Wafiuddin dan Shahrul Aizat.


Apa yang menarik perhatian adalah mereka turut melepaskan bakat muda, Hasnul Zaim yang boleh dikatakan sebagai antara prospek besar untuk pasukan ini buat jangka masa yang lebih panjang.

Aksi cemerlang yang ditunjukkan oleh pemain pertahanan tersebut sepanjang musim ini wajar diberikan pujian.

Terutama sekali sewaktu beliau diturunkan 90 minit permainan pada aksi bertemu Johor Darul Ta’zim FC yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 pada Mei lalu.

Hasnul memiliki corak permainan bertahan yang cukup baik ditambah dengan ketinggiannya 1.75 meter memberi kelebihan yang cukup besar dari segi fizikal untuk membantu pasukan di bahagian bawah serta dalam melakukan serangan.

Kehilangan Hasnul merupakan kerugian besar buat pasukan Sri Pahang yang perlu segera bangkit untuk kembali berada di tahap terbaik seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Terdahulu, penyokong Sri Pahang telah terlebih dahulu meluahkan kekecewaan mereka selepas melihat nama Hasnul turut tersenarai sebagai salah seorang pemain pasukan Perak FC dalam aksi persahabatan kelab tersebut.

Pengumuman rasmi yang dilakukan oleh pihak pengurusan Sri Pahang ini sekali lagi menimbulkan kemarahan tatkala ia tampak akan menjadi satu kerugian besar sebagaiman sewaktu mereka melepaskan seorang lagi pemain muda, Nik Sharif Haseefy ke pasukan Selangor FC sebelum ini.

Pada masa yang sama, para penyokong tidak dapat menahan kekecewaan selepas mereka melihat senarai pemain-pemain yang akan dikekalkan.

Nama yang paling mencuri tumpuan adalah Muslim Ahmad yang sudah mencecah usia 33 tahun ketika ini.

Keputusan mengekalkan khidmatnya musim depan dianggap sebagai satu perkara yang tidak masuk akal melihat kepada statistik permainannya sejak kebelakangan ini termasuk aksi hambar sepanjang musim 2022.

Paling ketara adalah pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia bertemu Sri Pahang apabila bahagian yang dikawal oleh beliau begitu mudah dibocori sehingga menyebabkan pasukan ini tewas mudah 5-1 di gelanggang sendiri.

Selain Muslim, antara pemain lain yang dikekalkan adalah perancang tengah, Azam Azih yang sebelum ini dikatakan akan menyertai JDT.

Tiga pemain import turut dikekalkan iaitu Manuel Hidalgo, Sherzod Fayziev dan Kevin Ingresso yang telah memperkuatkan pasukan pada tahun ini.

Mereka kini dikaitkan dengan kemasukan beberapa nama baru seperti bekas penyerang Terengganu FC, Kpah Sherman serta beberapa pemain JDT seperti Azrif Nasrulhaq dan Izham Tarmizi.