Azam Azih sasaran seterusnya Selangor FC

400

Skuad The Red Giant muncul pasukan terbaru yang dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Sri Pahang FC iaitu Azam Azih menjelang saingan Liga Super musim hadapan.

Arkitek prolifik skuad Harimau Malaya ini dikatakan ingin mencari angin baharu setelah 7 tahun jatuh bangun bersama Sri Pahang FC. Perancang dari Maran ini juga menjadi sasaran Selangor FC kerana Azam disebut-sebut bakal bergandingan dengan seorang lagi tonggak kebangsaan iaitu Brendan Gan bagi membentuk satu gandingan yang mantap di jentera tengah. Brendan Gan yang baru sahaja melanjutkan kontraknya bersama Selangor FC untuk musim hadapan.


Sumber Foto : FAM Official

Kemantangan yang dimiliki Azam Azih mengemudi jentera tengah sememangnya ditagih Selangor FC apabila dilaporkan kehilangan ramai pemain senior yang membuat keputusan untuk berhijrah dan meninggalkan skuad yang berpangkalan di Stadium Shah Alam ini.

Hubungan baik diantara Azam Azih bersama penjaga gol Selangor FC yang juga bekas pemain Sri Pahang FC iaitu Khairul Azhan yang kekal di Stadium Shah Alam pada musim hadapan juga menjadikan pasukan Gergasi Merah sebagai calon pasukan pilihan bagi mendapatkan tanda tangan pemain tengah yang berbakat itu.

Begitupun usaha Selangor untuk memikat Azam Azih ke meja rundingan dilihat tampak sukar apabila terpaksa bersaing dengan beberapa pasukan gergasi tanah air yang lain seperti Kedah Darul Aman dan Johor Darul Takzim yang mana masing-masing menaruh harapan untuk mendapatkan pemain tengah berkenaan.

Di sebalik kerisauan peminat berhubung kecederaan yang dialaminya, Azam Azih berjaya meledak dua gol dan berjaya melakukan tiga bantuan jaringan ketika membantu Sri Pahang FC menamatkan saingan Liga Super di tempat ke 10. Azam telah melakukan 105 penampilan untuk Sri Pahang selaku pemain kesebelasan utama.

Sebelum itu, Selangor FC juga telah mengumumkan beberapa pemain import yang telah ditandatangani sebagai persiapan musim hadapan antaranya ialah Yazan Al-Arab, Baha’a Abdulrahman dan Caion.

Sumber Foto : Sri Pahang FC Official